Pelakon Beto Kusyairy akui pengalaman menjayakan babak mulutnya dijahit di dalam drama eksklusif Astro Go, Sembilan adalah sesuatu yang mengerikan.

Malah menurut Beto, bukan mudah untuk menjayakan watak tersebut apabila cuba untuk menzahirkan visual mengerang sakit dalam keadaan mulut tertutup.

“Tiada pengalaman menyeramkan yang terjadi melainkan ketika proses penggambaran. Cuma saya perlu akui pengalaman ketika babak mulut dijahit itu agak mencabar juga.

“Agak mengerahkan tenaga juga untuk saya menzahirkan visual mengerang sakit dalam keadaan mulut tertutup namun saya cukup seronok melakukannya.

“Sebenarnya kru dan pelakon kanak-kanak Bima yang membawa watak Taduh lebih berasa ngeri kerana dia terpaksa melakukan proses menjahit itu sendiri,” katanya kepada Gempak.

Menurut satu survey yang #AstroGO buat kat Twitter, scene ni paling seram dalam #Sembil9n #SembilanGO #AstroGOExclusive Tolong komen tanda setuju/tak setuju

A post shared by Astro GO (@astrogo.my) on

Sembilan yang bergenre seram thriller ini mempunyai 10 episod dan setiap satunya berdurasi satu jam.

Drama ini boleh distrim secara eksklusif di aplikasi Astro GO secara percuma mulai 6 Disember ini dan episod ke 10 hanya ditayangkan hari ini.

Selain Beto, Sembilan menampilkan lakonan hebat pelakon Malaysia seperti Amerul Affendi, Azhan Rani, Sara Ali dan Luqman Hafidz, sementara bintang Indonesia yang terlibat adalah Atiqah Hasiholan, Bima Azriel, Endhita Wibisono dan Roy Marten.

Sembilan mengisahkan tentang watak seorang pelacur bernama Rimbun (lakonan Atiqah Hasiholan) yang mempunyai reputasi buruk di kalangan penduduk Kampung Tanah Merah.

Rimbun kemudiannya hamil dan melahirkan seorang bayi lelaki bernama Taduh (lakonan Bima Azriel). Namun begitu, Rimbun tidak mengetahui siapakah bapa kandung kepada Taduh dan mengabaikannya.

Pada suatu hari, Taduh tiba-tiba hilang tanpa dikesan. Pada ketika saat itulah, Rimbun akhirnya menyedari yang Taduh adalah satu-satunya harta yang dia miliki dan tidak sanggup kehilangannya.

Rimbun berusaha mencari Taduh dan sanggup merayu kepada penduduk kampung untuk membantu mencari Taduh. Namun, usaha pencarian mereka menemui jalan buntu.

Namun, misteri kehilangan Taduh yang belum terungkai tiba-tiba dikejutkan pula dengan kemunculan semula Taduh tetapi masih dalam keadaan usia 9 tahun sama seperti sewaktu kehilangannya dahulu.

Kepulangan Taduh mengundang pelbagai spekulasi daripada penduduk Kampung Tanah Merah.

Adakah dia masih ‘Taduh’ ataupun cuma jelmaan? Nantikan di Astro GO bermula 6 Disember ini.

Untuk menonton menerusi aplikasi Astro GO, pengguna iPhone boleh memuat turun aplikasi menerusi AppStore dan pengguna Android menerusi Playstore.