Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Menggalakkan Orang Keluar Membeli Ke Macam Mana?” - Fizz Fairuz Mohon Peniaga Kecil Turut Sama Lockdown

Azwa Rahman
03/06/2021 08:24 MYT
Pelakon Datuk Fizz Fairuz memohon para penjaja kecil untuk turut sama akur dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh ataupun ‘total lockdown’ bagi mengekang penularan jangkitan virus COVID-19.

Menerusi laman sosial Instagram, Fizz atau nama sebenarnya Mohd. Fairuz Zainal Abidin, 41, meluahkan kebimbangan apabila golongan peniaga kecil masih dibenarkan berniaga dan akan menggalakkan orang ramai keluar dari kediaman masing-masing.

“Nak tanya kejap, kalau bukak (benarkan) peniaga kecil ini, agaknya mengalakkan orang keluar membeli ke macam mana?

“Tanya je, kalau boleh kita lockdown sekejap, dua minggu je. Kita sama-sama susah sekejap lepas tu kena sama-sama cari rezeki. Macam mana? Tak begitu?, “ tulisnya di ruangan kapsyen.

A post shared by Dfizzfairuz ?? (@fizzfairuzofficial)


Sementara itu di ruangan komen, pertanyaan Fizz tersebut mendapat pelbagai reaksi wargamaya.

Ada yang bersetuju malah ada juga menganggap suami kepada pelakon Almy Nadia itu tidak memahami kesusahan yang bakal dihadapi peniaga kecil sekiranya tidak berniaga.

“Betul, sekarang ni bukan total lockdown kalau ikutkan. Kilang pun bukak je. Macam tak lockdown pun,” komen seorang wargamaya.

“Sembang memang senang bang tapi cuba jadi peniaga kecil. Sampai catu makanan semata nak bayar bil api air,” luah seorang wargamaya.

“Dua minggu penjaja nak dapat income macam mana?” tanya seorang wargamaya.

“Setuju sangat. Cuba ketatkan macam PKP1.0, makanan pun delivery je, tak payah keluar,” tulis seorang wargamaya.

“Biarlah buka. Mereka pun mahu mencari rezeki untuk dapur berasap. Yang penting ikut SOP. Boleh?” kata seorang wargamaya lagi.

Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menerima 6,000 tanda suka daripada pengikutnya.

Pada 2 Jun lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataannya berkata, penjaja kecil dibenarkan beroperasi dan hanya perlu menunjukkan permit penjaja yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Malah, penjaja kecil di kawasan PBT tidak perlu mendapatkan kelulusan MITI untuk berniaga.
#Fizz Fairuz #Peniaga Kecil #Total Lockdown #Miti
;