Konsert Cahaya Aidilfitri - A Tribute to S. Atan berlangsung dengan cukup cemerlang menampilkan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).

Konsert bertemakan Aidilfitri yang julung kali diadakan pada tahun ini menyaksikan kebolehan MPO dalam mempersembahkan lagu-lagu raya yang menjadi kegemaran semua.



Berkesempatan menyaksikan sendiri konsert yang mengangkat lagu-lagu raya malar segar hasil karya komposer tersohor S. Atan atau nama sebenarnya Hashim Said.

Menjadi pembuka bagi banyak lagi konsert-konsert DFP selepas endamik, kami simpulkan lima sebab sangat suka dengan Konsert Cahaya Aidilfitri - A Tribute to S. Atan.

1. Alunan muzik Orkestra dan gubahan lagu

Konsert raya yang pertama seumpama ini mendapat sentuhan penggubah muzik terhebat negara. Dipimpin oleh konduktor Ahmad Muriz Che Rose, beliau sempat menyelitkan lagu-lagu raya popular yang lain menjadi medley dengan alunan yang cukup menyegarkan.

Selain Ahmad Muriz, antara penggubah muzik lain yang turut terlibat adalah Gerard Salonga, Jenny Chin, Vivian Chua, Ilham Subri dan Syed Shahir.

Sentuhan muzik orkestra mengiringi setiap lagu-lagu raya ini menjadi antara yang paling diingati dan memberi kesan pada kami.


2. Lagu-lagu raya malar segar imbau memori

Jika ada yang belum tahu, S. Atan merupakan komposer yang bertanggungjawab mencipta lagu-lagu raya popular seperti Balik Kampung, Cahaya Aidilfitri, Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Hari Mulia, Indahnya Beraya Di Desa dan banyak lagi.

Figura yang berasal dari Singapura ini mencipta banyak memori meraikan kenangan lebaran sewaktu kecil. Tambah istimewa apabila penontin turut sama menyanyikan lagu-lagu raya popular ini bersama penyanyi jemputan.

3. Penampilan Azlina Aziz

Penyanyi yang dinanti-nantikan, Azlina Aziz muncul membawakan empat buah lagu ciptaan S. Atan iaitu Indahnya Beraya Di Desa, Hari Mulia, Joget Hari Raya dan Inang Aidilfitri. Penampilan Azlina yang menjadi tumpuan setiap kali lebaran apabila lagu berhantu Indahnya Beraya Di Desa mula kedengaran di corong-corong radio.

Terubat rindu apabila dapat melihat penyanyi berusia 60 tahun ini cukup bertenaga membawakan lagu-lagu raya malar segar dengan alunan muzik orkestra, cukup menambah rasa sebagai anak perantau.

4. S. Atan tampil mengiringi persembahan lagu Salam Aidilfitri

S. Atan turut menyumbang tenaga mengiringi persembahan Datuk Jamal menerusi lagu Salam Aidilfitri menerusi alat muzik accordion.

Saat pertama kali muncul di atas pentas, S. Atan menerima tepukan gemuruh daripada para hadirin seolah-olah mereka berterima kasih di atas lagu-lagu raya ciptaannya yang sabah tahun menjadi penyeri lebaran.

5. Suara Datuk Jamal Abdillah dan Jay Jay macam telan kaset.

Antara dua penyanyi legenda yang tidak perlu disanggah lagi kredilibiti mereka, suara Jamal dan Jay Jay saling tak tumpah seperti anda pertama kali mendengarnya sekitar 80-an dulu.

Emosi yang dipersembahkan juga cukup mengamit kenanngan raya setiap penonton. Malah, selingan usik-mengusik di antara mereka berdua cukup membuatkan panggung bersorak.