‘Mengintai Dari Tirai Kamar’ Tular Gara-Gara YouTuber Indonesia, Ezad Lazim Tumpang Gembira; “Banyak Benda Positif Terutama Dari Segi…”
Asyikin Mayudin
05/10/2022 04:55 MYT
05/10/2022 04:55 MYT
Penyanyi Ezad Lazim tidak kisah apabila lagu Mengintai Dari Tirai Kamar yang dinyanyikan semula oleh YouTuber Indonesia, Nabila Maharani Widyadewi secara duet dengan Zinidin Zidan lebih popular.
Melihat dari sudut positif, Ezad berkata dia gembira dengan sambutan lagu nyanyiannya bersama kumpulan Exists itu biarpun ada segelintir pendengar tidak mengetahui siapa penyanyi asal.
“Saya tak ada masalah pun mereka cover lagu itu. Kalau kita lihat dari sudut positif, bila dinyanyikan semula, ramai orang yang dah lupa lagu itu ingat balik.
“Orang baru yang tak tahu lagu itu, terus jadi minat selain dapat juga kenal penyanyi asal. Memang ada yang ingat lagu itu dari Indonesia.
“Tapi ramai yang tahu lagu itu sebenarnya lagu Exist yang ada dua versi. Sekurang-kurangnya orang pun dah tahu tentang lagu itu,” katanya kepada Gempak.
Ezad ditemui ketika sidang media konsert Hype Night KL yang diadakan di KWC Fashion Wholesale, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Terdahulu, lagu ciptaan Saari Amri pada 1997 yang ditukar judulnya kepada Buih Jadi Permaidani untuk pasaran Indonesia itu tular selepas dinyanyikan kembali oleh YouTuber itu.
Sementara itu, Ezad mengakui terdapat segelintir pihak yang membuat perbandingan nyanyiannya dengan Zidan.
“Saya tahu orang akan bandingkan nyanyian mereka dengan saya tapi tak kisah la sebab masing-masing ada cara tersendiri menyanyikan lagu itu.
“Bagi saya, banyak benda yang positif selepas lagu itu dinyanyikan semula. Terutama dari segi royalti yang meningkat juga,” ujarnya.
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini.
Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!