Meninggal Dunia Ketika Baca Al-Quran Pada Majlis Israk Mikraj
Seorang qari meninggal dunia ketika membaca al-Quran sempena majlis Israk Mikraj di masjid al Mujahidi, Desa Geudong-Geudong, Kabupaten Bireuen pada Ahad lalu.
Media tempatan melaporkan, Allahyarham dikenali sebagai Teungku Hasbi Ahmad,55, merupakan seorang qari yang berasal dari Aceh.
Menurut saksi, penduduk desa berkenaan, Tgk Rusli pada hari kejadian, Allahyarham diminta untuk memperdengarkan alunan ayat suci al-Quran selepas selesai solat Maghrib.
"Beliau terus ke mimbar dan membaca al-Quran (surah al-Isra). Namun pada bacaan ayat terakhir suaranya semakin tidak kendengaran lantas jatuh berhampiran mimbar.
"Kami berada di situ terus membaringkan beliau, ketika itu masih bernafas," katanya kepada wartawan pada Isnin.
Susulan itu, katanya, salah seorang penduduk menghubungi ambulans dan membawanya ke hospital.
"Bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia di hospital Dr Fauziah Bireuren," katanya lagi.
Allahyarham meninggalkan isteri dan empat anak serta telah dikebumikan pada Isnin di Tanah Perkuburan Islam Umum Desa Geudong-Geudong.