Penyanyi Ezad Lazim, 42, berkongsi berita duka mengenai pemergian adiknya, Allahyarham Mohd Rizal Mohamad Lazim di Instagram semalam.

Kata Ezad ketika dihubungi Gempak, arwah adiknya yang masih bujang meninggal disebabkan jangkitan kuman di paru-paru dan telah selamat dikebumikan sekitar tengahari hari ini.

"Baru selesai pengebumian arwah, adik saya meninggal kerana jangkitan kuman di paru-paru.

"Arwah meninggal pada jam 3.15 petang semalam di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada usia 35 tahun," katanya menerusi kiriman Whatsapp pada 12.54 tengah hari.

Difahamkan, Ezad kini berada di Alor Setar namun tidak sempat bertemu adiknya itu sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Meskipun menghidap jangkitan kuman di paru-paru, Allahyarham bagaimanapun tidak dilaporkan positif COVID-19.

Salam takziah daripada Gempak kepada Ezad sekeluarga. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dari Allah SWT.