Jika hidup sudah berpaksikan duit semata-mata, pasti jalan mudah menjadi pilihan.

Tanpa belas kasihan mereka ini sanggup menipu demi mengaut bilion ringgit wang rakyat Malaysia!

Gempak senaraikan jenis penipu atau scammer yang paling kejam di Malaysia.

#1 Penipuan Awang Hitam

Sindiket ini pernah kecoh satu ketika dahulu, selepas menggemparkan negara sejak tahun 2001.

Penipuan melibatkan mata wang asing atau lebih dikenali sebagai 'Black Money Scam' adalah satu penipuan oleh sindiket warga Afrika.

Mereka memperdaya mangsa yang dikenali di media sosial untuk mengeluarkan sejumlah wang kononnya untuk membeli sejenis bahan kimia yang didakwa boleh mencuci ‘wang’ dan dijanjikan hasil lumayan.

Terdapat seorang mangsa iaitu ahli perniagaan mengalami kerugian kira-kira RM1.9 juta.

#2 Sekali Gores Boleh Menang!

Masih ingat lagi kewujudan sindiket ini?

Sindiket penipuan ini boleh dikatakan antara yang ‘old school’.

Secara asasnya penipuan ini berlaku sebaik anda diberikan sekeping kad untuk digores dan apa yang tertera pada kad menunjukkan apa yang boleh anda menangi.

Hadiah yang menarik selalunya agak mewah seperti kereta, pakej pelancongan dan barangan elektrik ditawarkan.

Bagi menuntut hadiah tersebut, mereka kemudian meminta anda untuk membayar sejumlah wang yang kononnya adalah dianggap cukai khidmat kerajaan.

Setakat ini jumlah kerugian paling tinggi dicatatkan adalah berlaku di Pulau Pinang membabitkan kerugian RM1.5 juta pada tahun 2015.

#3 Skim Cepat Kaya

Gara-gara mahu cepat kaya, ramai sudah kecundang dan terpaksa berputih mata.

Penipuan jenis ini boleh dikatakan antara yang paling ‘kejam’ kerana ramai mangsa adalah golongan bawahan termasuk warga emas.

Malah, jumlah wang yang terpaksa dilaburkan bukan sedikit dan selalunya individu yang terpedaya dengan skim ini sanggup membuat pinjaman bank biarpun baru setahun jagung bekerja.

#4 Macau Scam

Sindiket ini telah lama bertapak di negara ini. Namun, sehingga kini kewujudannya masih tidak mampu dibendung.

Ada saja panggilan mencurigakan!

Sindiket ini sebenarnya didalangi oleh warga tempatan dan warga asing yang membuat panggilan telefon secara rambang dengan mendakwa mewakili mana-mana institusi kewangan.

Panggilan tersebut dibuat bagi pengesahan transaksi kad kredit yang kononnya milik anda.

Taktik ini digunakan untuk memperdaya mangsa dan boleh menyebabkan kerugian berjumlah ribuan ringgit.

BACA : Kecoh Isu Macau Scam Perguna Artis! Tapi Apa Sebenarnya Modus Operandi Sindiket Ini?

5. Penipuan Cinta!

Bukan saja orang muda, warga emas pun jadi mangsa.

Sasaran mangsa untuk jenis penipuan ini pastinya golongan yang kesunyian dan memerlukan teman hidup.

Memancing cinta menggunakan kata-kata romantis dan janji-janji palsu untuk memperdaya mangsa merupakan satu lagi taktik penipuan ‘Love Scam’ yang digunakan untuk menjerat wanita dan lelaki.