Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semalam akhirnya melabuhkan tirainya dengan menyaksikan Pakatan Harapan (Harapan) mengambil alih pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) selepas 60 tahun memerintah Malaysia.

Namun disebalik apa yang berlaku, pastinya rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara tidak mahu melepaskan peluang mengundi calon pilihan mereka menerusi saluran undi pos.

Menerusi perkongsian di Facebook, Zulhafidz Yahaya mengakui kagum dengan semangat ditunjukkan oleh pengundi yang berada di luar negara.

"Saya menitis air mata baca mereka ini. Begitu mereka sayangkan negara dan hak mengundi untuk memilih siapa yang bakal jadi pemimpin mereka.

"Kertas mengundi mereka ada yang lambat sampai walau dah memohon awal. Ada yang masih belum sampai. Ada yang baru nak sampai. Mana sempat nak pos ke Malaysia.

"Mereka tak mengalah. Tak putus asa. Malah mereka bekerjasama untuk kirim bawa balik kertas mereka. Bahkan ada yang kumpul duit, wakilkan seorang untuk balik dan agih kepada rakan mereka di KLIA. This Is Malaysian!," tulisnya.


Rata-rata netizen mengakui kagum dengan sikap yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia yang tinggal diluar negara kerana mereka sanggup lakukan apa sahaja asalkan undian mereka dapat tiba di tempat masing-masing pada waktunya.

"@Mariyah Ismail: Sedih pula tengok semangat dorang ni. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia. Semoga urusan mereka dipermudahkan".

"@Razakli: Walaupun tidak ramai yang tinggal di luar negara namun undian mereka amat penting dalam memiih pemimpin yang akan meneraju Malaysia. Salute dengan sikap mereka ini".

"@Tania: Apa yang dilakukan oleh mereka ini amat menyentuhkan. Tahniah saya ucapkan kerana mereka tetap jalankan tanggungjawab sebagai pengundi walaupun menghadapi pelbagai dugaan".

"@Dini Syarif: Saya pun hampir menangis. Betapa semangatnya mereka ini. Tetapi sayangnya ada juga yang seakan-akan meminggirkan mereka dengan mempertikaikan kuasa undi pos. Mereka cukup patriotik untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.".


Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto Facebook