Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

“Menjatuhkan Imej I-City” - Polis Tahan Instafamous Terbabit Kes Pondan Menari Separuh Bogel & …

Hanafis Haris
30/05/2022 12:23 MYT

Terbabit dengan kejadian pondan menari separuh bogel dan pembakaran bunga api hingga mengganggu ketenteraman awam, seorang selebriti media sosial (instafamous) ditahan pihak polis.

Perkara itu didedahkan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim menerusi satu kenyataan rasmi.

Menurut Mohd Iqbal, penganjur dikenali dengan panggilan Cik Lala merupakan individu yang menyewa unit terbabit dengan kos RM4,000 untuk Majlis Hari Raya dengan jemputan kira-kira 50 orang kenalannya.

"Siasatan mendapati, tarian oleh penari pondan separuh bogel dan pembakaran bunga api itu adalah dianjurkan oleh penganjur sendiri.

"Suspek ditahan semalam dan direman sehingga 31 Mei untuk siasatan lanjut.

“Polis juga sedang dalam tindakan untuk melakukan beberapa lagi tangkapan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, tangkapan ke atas suspek susulan laporan polis dibuat Badan Pengurusan Bersama (JMB).

“Pihak JMB membuat laporan polis 28 Mei lalu selepas mendapat 'WhatsApp' mengenai aktiviti tarian separuh bogel oleh penari pondan dan pembakaran bunga api di dewan UG di Central Walk I-City.

"Mengikut pihak terbabit, perlakuan itu boleh menjatuhkan imej I-City sebagai satu tarikan daripada pelancong di Selangor.

"Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pada 27 Mei sekitar jam 8 hingga 11.30 malam di Dewan Unit B-Ug-12 Upper Grand Floor Central Walk I-City.

"Sekumpulan lelaki pondan membuat tarian separuh bogel diikuti bunyi muzik yang kuat serta terdapat pembakaran bunga api di kawasan awam berhampiran rumah penduduk.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya.

Sumber : Berita Harian


#Bogel #Pondan #I-City