Pelakon Indonesia, Nicholas Saputra mengakui tidak akan tertekan jika dikritik hodoh oleh para peminat kerana membawa watak seperti seekor burung.

Nicholas atau nama sebenarnya Nicholas Schubring Saputra, 32, berkata, sebagai seorang pelakon dia harus menghidupkan watak yang diberikan dengan baik meskipun memerlukannya kelihatan jauh dari rupa asal.

Kata Nicholas, dia harus untuk menghidupkan watak Belian (semangat haiwan yang menjelma dalam bentuk separuh manusia) walaupun ia nampak hodoh pada pandangan penonton.

"Saya tidak kisah dikritik kerana membawa watak hodoh, sebagai seorang pelakon saya harus melakonkan watak yang diberikan oleh pengarah dengan baik.

"Matlamat utama saya adalah untuk menghidupkan watak Belian dengan berkesan walaupun ia menyebabkan kegatalan pada kulit (kostum) dan ianya tidak selesa.

"Walaubagaimanapun saya perlu mempercayai karakter yang dibawa dan menyesuaikan diri dengan rupa itu sepanjang penggambaran,” katanya kepada Astro Gempak.

Nicholas berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang tontonan media filem Interchange di GSC Pavillion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Antara barisan pelakon yang turut hadir ialah Shaheizy Sam, Iedil Putra, Prisia Nasution, Nadiya Nisaa dan Chew Kin termasuk pengarah Dain Iskandar Said.

Filem Interchange bakal menemui penonton pada 1 Disember itu mengisahkan Adam (Iedil), jurufoto forensik mengalami halusinasi.

Dia menyertai rakannya Dektektif Man untuk melakukan siasatan pembunuhan bersiri. Dalam pada itu dia bertemu Iva, pawang yang ditemani semangat haiwan, Belian.

Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi