Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Menteri Agama Maklum Isu Pengkid Berpakaian Ihram Lelaki, Akan Kenakan Tindakan Tegas

Izwan Isa
13/08/2022 02:50 MYT

Menteri Agama, Senator Ustaz Idris Ahmad sedia maklum mengenai video tular seorang wanita menyerupai lelaki yang mengerjakan ibadah umrah di Mekah baru-baru ini.

Menerusi kemas kini akaun Facebook miliknya, Ustaz Idris berkata, isu berkenaan melibatkan hukum hakam agama dan tindakan yang tegas akan dikenakan terhadap si pelaku.

“Saya mengambil berat perkara yang telah ditular dan dakwaan melaporkan seorang wanita mengerjakan umrah, namun berpakaian ihram lelaki. Isu ini melibatkan hukum hakam agama. Tindakan tegas akan dikenakan.

“Pihak saya telah menghubungi Kementerian Dalam Negeri (KDN). Saya memohon pihak KDN untuk membuat siasatan lanjut setibanya individu tersebut di Malaysia nanti.

“Saya juga telah menghubungi pihak MOTAC untuk memastikan jika perkara ini benar, tindakan tegas juga akan dikenakan kepada agensi yang menguruskan individu tersebut,” katanya.

Meninjau ruangan komen, rata-rata dilihat bersetuju dengan ketegasan yang ditunjukkan oleh Ustaz Idris.

“Tahniah. Lantang dan berani. Kena ambil tindakan untuk jadi pengajaran pada semua. Siapa saja yang menyokong tindakan ni boleh hantar masuk sekali. Biar pening duk penjara laki.”

“Ban agensi. Biar jadi pengajaran kepada agensi-agensi lain supaya tak sambil lewa dan cuai.”

Terdahulu, gempar di media sosial apabila seorang wanita yang menyerupai lelaki dipercayai warganegara Malaysia didakwa mengenakan ihram ketika melakukan ibadah umrah.

Ramai yang mengecam tindakan wanita berkenaan yang dianggap menghina agama selain boleh memburukkan nama Malaysia.

#Menteri Agama #Pengkid Pakai Ihram Lelaki