Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengesahkan dirinya positif Covid-19 seperti yang tular di media sosial hari ini.

Zulkifli menerusi hantaran terkini di laman sosial Facebook (FB) turut mengemaskini mengenai keadaan kesihatannya.

Beliau juga menyeru orang ramai yang menghadiri majlis melibatkan dirinya pada 24 September hingga 4 Oktober lalu menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera.

“Kepada semua rakyat Malaysia, saya kini menjalani rawatan kerana disahkan positif COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Alhamdulillah, sehingga saat ini keadaan kesihatan saya adalah baik.

“Saya menyeru orang ramai yang menghadiri majlis yang melibatkan kehadiran saya dari 24 September hingga 4 Oktober agar menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera,” tulis beliau.

Selain itu beliau turut mendoakan rakyat Malaysia dilindungi daripada virus tersebut.

“Saya berdoa semoga Allah SWT sembuhkan dan selamatkan rakyat Malaysia daripada COVID-19. Insya-Allah.

“Kepada Allah saya berserah, kepada-Nya jua saya memohon pertolongan.

“Seperti yang telah saya maklumkan dalam kenyataan pada hantaran (posting) sebelum ini, saya telah disahkan positif oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Saya mohon maaf atas sebarang bentuk kelemahan dan kekurangan daripada diri saya,” katanya menerusi sebuah lagi hantaran.

Dalam pada itu beliau turut memberitahu bantuan Khas Siswa Siri 2 yang dijanjikan akan tetap diteruskan.

“Insya-Allah, bantuan Mus’adah Khas Siswa Siri 2 yang saya janjikan semalam kepada siswa yang terkandas, tetap akan diteruskan oleh agensi-agensi agama di bawah saya.

“Program-program Musa’adah COVID-19 yang telah diaturkan, akan terus dijalankan seperti biasa di seluruh Malaysia. Masih ramai yang memerlukan bantuan kewangan, barangan asas, makanan dan lain-lain dalam tempoh yang getir ini.

“Sejak Mac, bantuan disalurkan tanpa mengira agama dan bangsa. Pandemik COVID-19 benar-benar mengajar saya erti kebersamaan. Saya akan pastikan semua bantuan sampai kepada sasaran, insya-Allah.

“Saya berdoa kepada Allah SWT semoga Allah SWT selamatkan dan sembuhkan rakyat Malaysia yang menghidap COVID-19 termasuk diri saya.

“Saya sayang anda semua. Patuhi semua SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara di mana jua anda berada,” katanya.