Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Menteri Kesihatan Diarah Kuarantin, Jadi Kontak Rapat Kes Positif Covid-19

ZULHILMI JALIL
10/12/2020 09:05 MYT
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba diarahkan untuk menjalani tempoh kuarantin sehingga 18 Disember depan ekoran status dirinya sebagai kontak rapat kepada seorang petugas media yang disahkan positif Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan Dr. Adham sendiri menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya hari ini.

"Saya telah diperintahkan untuk menjalani Pengawasan dan Pemerhatian di rumah atau “Home Surveillance Order” (HSO) sehingga 18/12/2020.

"Perintah ini dikeluarkan kerana penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM Putrajaya mendapati saya adalah kontak rapat kepada seorang petugas media swasta yang hadir ke pejabat saya pada hari Sabtu lepas. Beliau didapati positif Covid-19 dan bergejala," katanya.

Jelasnya lagi, dalam tempoh itu juga dia akan terus melaksanakan tanggungjawab sedia ada dengan bekerja dari rumah.



Ujar beliau, perintah yang dikeluarkan terhadapnya itu juga membuktikan arahan pihak berkuasa perlu dipatuhi tanpa mengira kedudukan status.

"Sesiapa pun tidak terkecuali dari mematuhi sebarang perintah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa apatah lagi yang melibatkan langkah pencegahan atau rawatan COVID-19.

"Semoga kita semua dapat memainkan peranan dalam menangani dan melawan COVID-19. Mohon doakan semuanya selamat," katanya.

#COVID-19 #Kuarantin #Dr. Adham Baba #Kontak Rapat #Menteri Kesihatan
;