Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Berita

Menteri Sahkan Foto Viral Anggota Hazmat Di KLCC, Remaja Perempuan Warga Kanada Dibawa ke HKL Disyaki Positif Koronavirus

Fiza Kamarudin 05/02/2020 | 09:14 MYT
Petang tadi, tular beberapa keping foto menunjukkan anggota Hazmat datang ke Tower 3, Menara Petronas, KLCC memakai sut perlindungan, di aplikasi Whatsapp.
Menerusi mesej tular tersebut dimaklumkan kejadian tersebut berlaku sekitar jam 11.45 pagi tadi (Rabu).
Maklumat tersebut juga menyatakan individu berkenaan dilaporkan pengsan ketika berjalan di kawasan tempat letak kereta di Tower 3 berhampiran Twin Tower Medical Centre (TTMC).
Berita tular tersebut turut mendakwa, hasil pemeriksaan awal mendapati individu berkenaan positif 2019-nCoV.
Menjawab pertanyaan pemberita mengenai foto-foto tular pasukan Hazmat dan anggota polis itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan seorang warga Kanada telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana disyaki positif novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).
Dalam satu sidang media pada Rabu, Dr Dzulkefly berkata pihaknya akan terus berhubung dengan HKL bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.
“Saya pun baru dapat maklumat mengenainya… saya kira pasukan Hazmat (Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya) datang dengan pakaian yang lengkap dan berjaga-jaga.
“Pesakit telah dibawa ke HKL. Kami akan dimaklumkan perkembangan mengenai kes itu nanti. Apa pun kami akan terus berkomunikasi dengan pihak di sana,” katanya.
Bagaimanapun sumber Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa HKL masih menyiasat kes tersebut.
Menurutnya, sehingga kini masih belum ada pengesahan sama ada pesakit tersebut, seorang remaja perempuan warganegara Kanada berusia 17 tahun, positif 2019-nCoV.
Terdahulu, menerusi foto-foto dan maklumat yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp itu mendakwa pasukan Hazmat itu hadir susulan panggilan yang diterima daripada Twin Tower Medical Clinic (TTMC) mengenai seorang individu yang didakwa disyaki positif 2019-nCoV.
Pada Selasa, Dr Dzulkefly memaklumkan jumlah terkini mangsa positif jangkitan wabak yang berasal dari Wuhan, China itu adalah seramai 10 orang.
Sumber: mStar Online
#Malaysia #KLCC #Koronavirus
;