Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mencatatkan sejarah baru untuk Malaysia selepas Pakatan Harapan mengambil alih pucuk pimpinan Barisan Nasional selepas 60 tahun memerintah Malaysia.

14,940,624 rakyat Malaysia layak mengundi di PRU14 berdasarkan daftar pemilih yang digazetkan sehingga suku keempat 2017 dan suara rakyat terus dizahirkan menerusi perubahan yang ditunjukkan.

Rakyat Malaysia yang berada di luar negara juga tidak terkecuali menjalankan tanggungjawab mereka sebagai anak watan menerusi undi pos.

BACA: "Menitis Air Mata Baca Cerita Mereka" - Netizen Kagum Sikap Pengundi Luar Negara Sanggup Kumpul Duit Hantar Kertas Undi

Menerusi sebuah akaun Facebook milik Khairul Aiman Hamdan yang menetap di Colchester, United Kingdom, lelaki itu bercerita mengenai pengalaman berliku yang dilaluinya demi PRU14.

"UNDI POS SERIBU LIKU.

"Umum tahu, aku pengundi luar negara. Sejak mula-mula lagi pendaftaran undi pos bermula, aku antara orang yang mendaftar awal untuk mendapat kertas undi.

"Kita tolak tepi aku pangkah siapa, itu bukan isu.

"Sejak mendapat pengesahan dari SPR, aku tekad dan tak sabar untuk terima undi. Bila hari penamaan bermula pada hari Sabtu, aku tunggu undi pos datang.. hampir tiap hari aku tanya isteri sama ada surat sudah sampai belum.

Ahad:
Ada surat I?
Mana ada, hari ini Ahad.

Isnin:
Ada parcel sampai?
Tak ada

Selasa:
Ada surat I tak?
Tak

Rabu:
Surat?
Tak

"KEMUDIAN, hari Rabu petang aku terima sms dari FedEx. Aku yakin surat aku sampai!

"Menunggu surat undi pos ini seperti bercinta. Setiap minit aku dambakan.

Khamis:
Ada tak?
Mana ada, bil air adalah

"Hampa....

|Petang Khamis. Surat aku sampai dari Fedex, jam melebihi 4 petang. Nahas. Kalau pos juga, pasti ditarik hingga ke hari Jumaat.

"Aku periksa syarikat mana yang harus aku hantar. Royal Mail bilang, kalau hantar Jumaat sampai Khamis. Perlu 3 hari bekerja.

"Aku kira, Jumaat tolak Sabtu Ahad, kemudian Isnin Selasa. Dalam Selasa Rabu sampailah. Bila aku periksa, akan sampai hari Khamis. Rupanya kerana Britain cuti Isnin!

"Nahas. Semua courier bagi jawapan yang sama. Aku cuba cari lagi.

"Ada group di FB yang hantar runner ke Malaysia. Ada yang balik Malaysia jadi boleh tumpang, aku cuba kira. Boleh juga.

"Kemudian dalam posting sebelum ini yang dikongsi ramai, Alhamdulillah Tatie Ghafur tolong aku kenalkan dengan kawannya. Effie, bilangnya aku boleh hantarkan ke rumahnya di Rochester atau jumpa saja di Heathrow, terpulang.

"Effie mahu pulang sebulan atas urusan. Alang-alang pulang, kena juga dengan tarikh PRU. Dia sedia mengundi.

"Aku siap-siap. Hari Ahad, hari penentuan. Selesai pulang kerja, aku dan isteri nekad. Selagi mengundi ini kami boleh redah, kami pergi.

"Jadi kami memandu petang itu, dari Colchester ke Heathrow. Dengan perjalanan dua jam ke sana, atas niat satu. Hantar kertas undi. 70 batu, dengan niat yang satu, tanggungjawab atas Malaysia.

"Isnin, kertas undi aku selamat sampai di Malaysia. Effie pegang dengan penuh amanah. Bilang dia, kalau mahu ambil. Boleh saja ke Damansara. Tapi isteri bilang, tak mengapa. Boleh saja di ambil esoknya.

"Selasa, bapa mertuaku sedia membantu. Kerana butik Effie di Kota Damansara juga, lebih mudah bapa mertuaku ambil.

"Langsung kertas undi itu di baws lagi dari Kota Damansara, terus ke tempat mengundi aku. Menara TH Selborn. Di pos dengan atas tangan.

"Terima kasih aku nak sampaikan pada semua yang berkongsi status aku sebelum ini juga yang membantu aku.

"Kalau kertas undi sampai awal, tak berliku perjalanan aku tempuh. Colchester - Heathrow - KLIA - Damansara - Kota Damansara - Titiwangsa
," tulis Khairul.


Di ruangan komen, rata-rata netizen memuji usaha Khairul yang tetap bersemangat untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengundi.

"Really admire your determination brother! Proud of you. I'm so gonna share this," tulis seorang pengguna bernama Izyan Bahirah Zul.

"Admire your determination for the nation.. Kita bersatu nanti Insya-Allah majukan negara kita sebagai pemimpin," kata Reza Fikry.

"Syabas! Sebak baca perjalanan berliku, yang pasti tanggungjawab dapat ditunai. Syabas Khairul dan isteri, rakyat malaysia bijak yang bertanggungjawab," tulis Syafiqah Yahya.

"Aku jarang buka FB... Buka-buka nampak post ni paling atas. Tabik dengan semangat kau," ujar Husnul Ramlan.

"You did a great job despite the obstacles, bro. Proud Malaysian," komen Nor Azizah Musa.

Ramai pengundi pos yang menetap di luar negara melakukan inisiatif sendiri untuk melunaskan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia menerusi laman Facebook GE14: Postal Voters Discussion.



Akaun tersebut yang memberikan bantuan kepada ramai pengundi pos luar negara serata dunia ini mempunyai lebih 3,300 orang ahli.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Facebook Khairul & GE14: Postal Voters Discussion