Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Berita

Menyanyi Lagu Bahasa Mandarin, Nabila Razali Teruja

Rozaimi Zubaidi 21/02/2018 | 06:19 MYT
Penyanyi yang sedang popular melalui lagu Pematah Hati, Nabila Razali, mengakui teruja apabila dipilih menyanyikan lagu tema filem biografi, Datuk Lee Chong Wei berjudul Cahaya Juara.
Menurut Nabila, 25, dia bersyukur kerana dipilih menyanyikan lagu itu dan harus belajar menyanyi beberapa baris lirik dalam bahasa Mandarin.
"Alhamdulillah, saya rasa teruja dan bangga apabila diberi peluang untuk menyanyikan lagu tema dalam filem ini.
"Bukan mudah bagi seseorang artis baru macam saya ini diberikan kepercayaan untuk menyanyikan lagu tema dalam sesebuah filem.
"Walaupun lagu ini amat mencabar kerana ia memerlukan saya nyanyi beberapa baris lirik dalam bahasa Mandarin untuk pertama kali.
"Saya akan melakukan yang terbaik kerana ini adalah peluang terbaik untuk saya lebih dikenali dalam industri muzik tanah air," katanya kepada Astro Gempak.
Nabila berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran trailer kedua filem biografi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, di Quill City Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Selain Nabila Razali, bintang sensasi YouTube kelahiran Sarawak, Priscilla Abby turut diberi penghormatan menyanyikan lagu tema filem biografi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bertajuk Cahaya Juara.
Filem arahan Teng Bee yang berkisar mengenai kehidupan awal Chong Wei yang penuh liku untuk muncul sebagai pemain badminton nombor satu dunia bakal menemui penonton di pawagam tempatan bermula 15 Mac ini.
Sementara itu, peminat badminton berpeluang menjadi orang pertama menonton versi tambahan filem berdurasi 133 minit itu pada sesi tayangan istimewa di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 9 Mac ini.
Filem Lee Chong Wei membariskan pelakon seperti Tosh Chan, Datuk Rosyam Nor, selain pelakon Singapura Mark Lee, Yeo Yann Yann dan Ashley.
#Penyanyi #Penyanyi #Nabila Razali
;