Bintang Big Stage musim kedua, Dinda Permata akui tempoh kuarantin di rumah ketika Ramadan membuka jalan untuknya bertadarus Al-Quran dan mendekatkan diri kepada Allah.

Kongsi Dinda, dia kini sudah hampir berjaya khatam al-Quran dan memperbanyakkan amalan ibadah yang selama ini sering alpa.

"Ada hikmahnya juga Covid-19 ini, sebelum ini kalau bulan puasa tak pernah khatam al-Quran tetapi tahun ini berbeza banyak kerana saya sudah hampir khatam.

"Saya punyai banyak waktu untuk mengaji dan menunaikan solat lima waktu, kiranya waktu untuk beribadah itu lengkap.

"Insya-Allah saya sudah hampir khatam al-Quran dan dalam banyak-banyak surah, surah al-Imran dan al-Waqiah itu kegemaran saya," katanya kepada Gempak.

Dalam pada tu, penyanyi lagi Syarat Bahagia itu juga akui menyesal kerana jarang meluangkan waktu untuk mengaji sebelum ini.

"Ada rasa penyesalan juga kenapa dari dulu jarang baca al-Quran padahal boleh saja dibaca berulang-kali.

"Sampaikan sekarang saya terfikir untuk menghafal al-Quran...

"Semoga Allah memberikan saya hidayah, permudahkan saya untuk berhijab dan boleh menjadi hafiz al-Quran," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Dinda turut muncul dalam lagu Lebaran Era Ini yang menggandingkan artis di bawah syarikat rakaman 17Eleven Music dan ERA FM.

Lebaran Era Ini adalah hasil ciptaan sepenuhnya Kadok, Pown Hasril, Karim Karam dan Otromen.

Lagu ini menampilkan barisan penyanyi hebat tanah air seperti Siti Nordiana, Khai Bahar, Farahdhiya, Achey, Amir Masdi dan Neon Band.

Tidak ketinggalan, Ikhwan Fatanna, Syafiq Amdoi, Hakim Khan, Farisha Irish, Kamelia Syermain, Mimi Manan dan Iza'an (I Can See Your Voice).

Buat julung kalinya projek ini menampilkan pembabitan barisan penyampai Era FM iaitu Dina Nadzir, Ray, Radin, Danial, Munabella dan Zahier.