Hiburan
Menyusu Anak Dalam Hutan, Merupakan Pengalaman Terindah - Daphne Iking
Pelakon Daphne Iking akui sukar untuk melupakan pengalaman semasa menyusukan anaknya, Iman Daniella, ketika menjalani penggambaran filem terbaharunya, Sindiket.
Daphne atau nama sebenarnya Dahlia Daphne Eleanor Mozes Iking, 39, berkata, perkara tersebut tidak menjadi halangan untuknya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu.
"Ini merupakan cabaran yang perlu saya hadapi apabila terpaksa membawa anak ke lokasi pengambaran kerana ketika itu saya masih menyusu badan.
"Suami telah ambil keputusan untuk bawa anak-anak bersama ketika itu kerana adakalanya saya terpaksa bermalam di sana dan tidak sempat pulang ke rumah.
"Perkara tersebut ternyata menguji kekuatan mental saya sebagai seorang pelakon dan dalam masa yang sama harus melaksanakan tanggungjawab kepada anak-anak.
"Pengalaman menyusu anak dalam hutan merupakan perkara yang terindah dan sukar untuk dilupakan oleh saya sepanjang begelar seorang pelakon," katanya kepada Astro Gempak.
Daphne berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Sindiket di MM Cineplexes, eCurve Damansara, malam Isnin.
Sindiket akan mula ditayangkan pada 6 April ini dan turut dibintangi oleh Liyana Jasmay, Soo Wincci, Tony Eusoff, Datuk Jalaluddin Hassan,
Sharifah Amani dan Rashidi Ishak.
Filem arahan Bade Azmi memaparkan isu pemerdagangan manusia di negara ini dan telah menjalani pengambaran di Pulau Sebatik, Indonesia dan Kundasang, Sabah.
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi