Artis versatil, Elly Mazlein atau lebih dikenali sebagai Kak Lina Pom Pom akui teruja melakonkan watak sebagai Cikgu Disiplin di dalam drama bersiri SMK musim kedua (SMK2).

Elly ketika dihubungi Gempak berkata, dia tidak pernah terfikir akan diberikan watak sebagai seorang guru apatah lagi guru disiplin.

“Sebenarnya saya tak sangka akhirnya dapat memegang watak sebagai seorang cikgu ‘dikkk’, bukan cikgu sahaja ya tetapi cikgu disiplin…bukan biasa-biasa.

“Bila dapat watak Cikgu Aini ni baru saya tahu, macam ni rupanya tugas seorang guru. Lebih-lebih lagi suami saya pun seorang guru,” katanya.

Tambah Elly lagi dia ada bertanya kepada suami Mohamad Azlan Che Nuh, karakter seorang guru disiplin.

“Suami saya banyak juga tolong bila saya bertanya kepada dia dengan lebih details mengenai karakter guru disiplin.

“Dia kata ketegasan itu kena ada, tetapi bila baca skrip saya kena tunjukkan nilai-nilai murni yang diterapkan di sekolah.

“Tetapi untuk menghidupkan watak Cikgu Aini yang garang dan tegas, saya tetap masukkan elemen-elemen kelakar tak adalah sama sebijik macam cikgu disiplin dekat sekolah.

“Apa pun saya happy diberikan watak sebagai cikgu disiplin, sekurang-kurangnya dapatlah merasa jadi cikgu,” katanya ketawa.

A post shared by Astro Ceria (@astroceria)

SMK merupakan drama bersiri komedi generasi millennial menampilkan bakat-bakat muda popular seperti Wafiy Aan, Mia Sara Nasuha, Rykarl Iskandar, Arena Wan, Erissa Puteri, Fikry Kiki dan ramai lagi.

Tambah menarik, rantaian siri kali ini (SMK2) turut menampilkan Kak Lina Pom Pom bersama bersama pengacara dan pelakon lelaki yang kian meningkat naik, Sean Lee yang memegang watak sebagai Zul seorang pelajar senior di sekolah.

Pada Ogos lalu SMK di bawah naugan Astro Ceria mengungguli kategori ‘Best Quarantine- Themed Drama/Feature/Programme’ di Anugerah ContentAsia 2020.

SMK 2 bersiaran pada setiap hari Rabu bermula 7 Oktober lalu, 9.00 malam di Astro Ceria (CH631) dan Ceria HD (CH611).

Nak tengok macam mana garangnya Cikgu Aini…jangan lupa tonton SMK2 tau! Bukan biasa-biasa gais!

[[BACA: SMK Kembali Dengan Musim Kedua! Tampilkan Elly Mazlein & Sean Lee]]