Dua lelaki yang didakwa membuat perlakuan sumbang dalam sebuah surau di Banting yang tular baru-baru ini merupakan adik-beradik.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, kedua beradik berusia 21 dan 14 tahun itu tinggal di Seremban, Negeri Sembilan.

"Kedua individu berkenaan datang ke Banting bersama ibu bapa serta seorang adik perempuan untuk bercuti dan makan di sebuah restoran di pekan Banting.

"Kira-kira jam 4.30 petang, pada Selasa lalu, keluarga berkenaan singgah di sebuah surau di pekan Banting untuk menunaikan solat.

"Selepas selesai solat, kedua adik-beradik itu bergurau di dalam surau tanpa disedari perbuatan mereka dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV)," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan kedua ibu bapa mereka, dua beradik itu mempunyai hubungan yang rapat dan selalu bergurau.

Katanya, dalam kejadian itu, abang bergurau dengan adiknya serta membetulkan seluar dan tiada sebarang niat untuk berkelakuan tidak senonoh di dalam surau terbabit.

"Keterangan kedua pelaku dan ibu bapa mereka sudah diambil dan kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut," katanya.

Media sebelum ini melaporkan polis daerah Kuala Langat menerima laporan daripada pihak surau berhubung kejadian itu.

Ia susulan video berdurasi satu minit 49 saat yang dimuatnaik di media sosial memaparkan dua lelaki tempatan membuat perkara yang tidak senonoh dalam surau.

Polis menerima laporan pada jam 9.07 malam Rabu lalu daripada seorang lelaki tempatan berumur 54 tahun iaitu bilal surau mengatakan melihat rakaman CCTV mengenai dua lelaki melakukan aksi terbabit.

Sumber: Harian Metro