Pemain bola sepak cacat penglihatan kebangsaan, Asri Arshad cukup teruja untuk menjadi antara tunjang utama filem Eye on The Ball (EOTB) yang akan menemui penonton tiga hari lagi.

Bagi Asri, 25, walaupun teruja, pada awalnya dia agak ragu-ragu tentang penghasilan filem ini memandangkan mereka merupakan sekumpulan orang cacat penglihatan.



“Mula-mula bila dapat tahu tentang penghasilan filem ni, kami satu pasukan ingatkan ia hanyalah satu sesi temubual yang akan disiarkan di mana-mana platform digital.

“Tapi bila pengarah filem Yihwen Chen memberikan penjelasan tentang apa yang akan berlaku, sejujurnya kami agak ragu-ragu sebab kami adalah seorang atlet dan bukannya pelakon.

“Dia siap beritahu jurukamera akan ikut ke mana sahaja pergerakan kami, ikut latihan, masuk asrama dan balik kampung, kami macam terkejut.

“Tapi lepas beberapa minggu, kami dah dapat faham tentang apa yang berlaku dan jalani kehidupan seperti biasa sambil pihak produksi buat hal mereka,” jelas Asri kepada Gempak.

Tambah Asri, dia yang cacat penglihatan sejak lahir sudah lama meminati sukan bola sepak dan memang cita-citanya untuk menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan.

“Saya mula bermain bola sepak pada tahun 2015 dan menyertai Persatuan Orang-Orang Buta di Brickfield semata-mata sebab nak main bola.

“Saya menyertai persatuan ni untuk belajar pelbagai kemahiran untuk orang buta tapi matlamat utama saya untuk menyertai pasukan bola sepak mereka.

“Saya teruja apabila tahu orang buta boleh main bola sepak sampai ada pasukan kebangsaan untuk mewakili negara lagi,” jelasnya lagi.

Dokumentari EOTB menceritakan kisah suka duka pasukan bola sepak cacat penglihatan yang melakar kemenangan di Sukan Para ASEAN 2017 untuk melayakkan diri ke kejohanan bola sepak cacat penglihatan dunia.

Saksikan filem EOTB di pawagam rumah anda, Astro First saluran 480 bermula 20 Ogos 2020.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton filem ini selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem ini, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.