"Mereka Mempunyai Berat Antara 110 KG Sehingga 300 KG" - Aliff Syukri Bantu Individu Mahu Kurangkan Berat Badan

Kamaruddin Razal
November 7, 2019 01:25 MYT
Usahawan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri melancarkan sebuah program realiti baru iaitu Akademi A-Comel.
Disiarkan menerusi saluran YouTube miliknya, Akademi A-Comel mengumpul 13 orang peserta yang mengalami masalah berat badan dan obesiti untuk menjalani gaya hidup sihat.
Bakal berlangsung selama tiga bulan, Aliff mendedahkan dia menerima 5,000 penyertaan untuk menjalani program ini tetapi hanya 13 orang terpilih.
"Saya terpanggil untuk membantu mereka yang mengalami masalah berat badan dan obesiti. Di Akademi A-Comel, mereka bakal menjalani latihan dengan jurulatih kecergasan, mendapatkan makanan sihat dengan cef yang disediakan serta mereka juga akan dipantau.
"Saya menerima 5,000 penyertaan tetapi semuanya tak mahu mendedahkan diri mereka menerusi video. Mereka segan untuk berhadapan dengan kamera dan segan untuk ke depan.
"Peserta yang terpilih ini semuanya bersetuju untuk ditampilkan dalam video YouTube saya dan mereka mempunyai azam kuat untuk mengubah gaya hidup.
"Mereka yang tepilih pula mempunyai berat badan antara 110 kilogram sehingga 300 kilogram dan perlu menjalani pemeriksaan doktor sebelum menyertainya. Pemenang pula akan mendapat hadiah bernilai RM15,000 di akhir program," katanya.
Tambah Aliff, program ini berlangsung selama tiga bulan dan seperti program realiti lain, akan ada penyingkiran berlaku setiap minggu.
"Selama tiga bulan, mereka akan duduk bersama dan menjalani aktiviti sihat. Kos keseluruhan termasuk pemasan serta iklan, saya habiskan hampir RM1 juta untuk merealisasikan Akademi A-Comel ini.
"Mereka juga harus melalui sesi penyingkiran yang ditentukan oleh jurulatih dan undian di laman Facebook. Semestinya mereka yang kekal adalah yang mengalami penurunan berat badan yang banyak," katanya lagi.
Akademi A-Comel bersiaran setiap Isnin, Rabu dan Jumaat jam 8 malam di saluran YouTube TV Terlajak Laris.
#Aliff Syukri #Akademi A-Comel