Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Mereka Positif Ganja” - Bekas Ratu Cantik Ditahan Selepas Tumbuk Polis!

Hanafis Haris
08/07/2021 09:48 MYT

Gara-gara menumbuk anggota polis dan merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Persekutuan, seorang bekas ratu cantik negara akhirnya ditahan.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi apabila suspek berusia 28 tahun bertindak agresif dipercayai akibat mabuk.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, ketika kejadian wanita itu memandu kenderaan bersama rakannya menuju ke Petaling Jaya.

"Sebaik tiba di SJR Lebuhraya Persekutuan, suspek tidak memberhentikan kenderaan dan merempuh sekatan berkenaan.

"Anggota kereta peronda polis (MPV) mengejar kenderaan suspek sebelum berjaya menahannya," katanya.

Tambah Mohamad Fakhruddin, tindakan agresif suspek tidak terhenti di situ apabila wanita tersebut menumbuk anggota polis berkenaan ketika cuba ditahan.

"Turut cedera adalah rakannya akibat dipukul suspek yang dipercayai mabuk. Wanita berkenaan berjaya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

“Hasil saringan awal ujian air kencing terhadap suspek dan rakannya mendapati mereka positif ganja,” katanya.

Suspek kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis, Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sumber : Harian Metro



#Ratu Cantik #Polis #PKP #PKPSambung #TumbukPolis
;