Kecoh di media sosial apabila sekumpulan doktor kontrak dari beberapa hospital kerajaan mengadakan protes sejak pagi ini.

Antara yang tular termasuklah protes di Hospital Sungai Buloh dan Melaka.

Difahamkan, kesemua mereka yang menyertai protes itu menuntut jaminan pekerjaan dan peluang kerjaya yang lebih baik.

Menerusi video yang tular di kedua-dua hospital itu, kebanyakan doktor dilihat keluar dari perkarangan dengan menyarung baju berwarna hitam.

Selain itu, kebanyakan mereka juga tampil membawa plakad atau poster yang bertulis ‘saya doktor kontrak’.

Menerusi pemantauan Gempak, reaksi netizen kebanyakan bercampur baur.

Ada yang mahukan hak doktor kontrak ini dibela, namun tidak kurang juga yang bimbang tentang situasi institusi kesihatan negara ketika ini.

“Mereka ini barisan hadapan yang penting.”

“Berilah keadilan buat mereka, dah banyak pengorbanan.”

“Korban nyawa demi negara, semoga hak kamu diadili dengan baik,” tulis beberapa netizen.

Sekadar info, semalam Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah meminta doktor kontrak tidak menyertai protes hari ini dengan mengingatkan mereka akan sumpah jawatan.

Pada Jumaat lalu pula, kerajaan menawarkan lanjutan kontrak kepada doktor kontrak sehingga empat tahun.

Malah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan akan memastikan mereka menerima faedah yang serupa dengan doktor tetap.