Penyanyi dan pelakon Nabila Razali mendedahkan hasratnya untuk berlakon bersama dua bakat popular di Youtube, Asif Suhaimi dan Yoe Parey.

Kata Nabila dia suka melihat aksi spontan yang dilakukan oleh Asif dan Yoe dalam berkarya.

"Saya selalu menonton video drama spontan lakonan mereka di YouTube kalau ada masa terluang.

"Biasalah kerja macam saya ni memang perlukan hiburan untuk hilangkan rasa penat.

"Perjalanan mereka sejak awal lagi bukanlah satu perjalanan yang mudah dan singkat.

"Mereka sangat jujur kerana tidak ada sebarang skrip dan hanya berlakon secara spontan.

"Mungkin kerana itulah kita dapat menonton lakonan mereka yang dilakonkan terus dari hati.

Kalau dapat peluang untuk berlakon bersama mereka, saya nak," katanya kepada Gempak.

Nabila ditemui ketika majlis pelancaran produk penjagaan diri bayi, Mek Kembang Baby yang diadakan di Bites Dessert Bar Kuala Lumpur.

Tambah pelantun lagu Vroom Vroom berkata dia berasa teruja dan gembira apabila dapat bertemu empat mata dengan Asif dan Yoe.

"Saya berpeluang bertemu Yoe dan Asif di acara Konsert Throwbaek 2019 baru-baru ini.

"Saya mengaku memang teruja untuk bergambar bersama mereka. Mereka lah paling popular dekat sana," katanya lagi.