Laman Utama
“Mereka Selalu Kongsi Pengalaman Tentang Latihan” - Sertai Real Men Malaysia, Sepupu Buat Wafiy Ingin Tahu Tugasan Bomba
Penyanyi dan pelakon, Wafiy Aan menerima tawaran untuk memasuki rancangan realiti terbaharu iaitu Real Men Malaysia: Wira Merah adalah untuk mencabar kebolehan dirinya.
Menurut Wafiy, dia sering berasa kagum apabila saudara maranya yang berkhidmat sebagai anggota bomba berkongsi pengalaman mereka berada dalam unit badan beruniform itu.
“Saya terima tawaran ini adalah kerana saya nak cabar diri saya, sepupu sepupu saya ramai yang bekerja sebagai anggota bomba dan mereka selalu bercerita dan berkongsi tentang latihan mereka.
“Saya tak boleh nak kaitkan sebab tidak berada dalam situsasi mereka, jadi bila dapat sahaja peluang untuk memasuki projek ni saya terus okay nak buat,” katanya teruja.
Wafiy berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran Real Men Malaysia: Wira Merah yang diadakan di Balai Bomba Jalan Hang Tuah yang diadakan di Kuala Lumpur pada Selasa.
Bercerita mengenai rancangan tersebut, Wafiy berkata antara orang yang membuatkan dirinya bersemangat untuk melakukan tugasan adalah Mat Redho.
“Sejujurnya saya tidak tahu siapa para selebriti yang akan ada bersama dengan saya untuk 22 hari penggambaran.
“Kemudian tiba-tiba saya nampak abang Mat Redho. Saya terus rasa macam okay saya tak boleh mengaku kalah dengan mudah.
“Kalau orang lain takut dengan dia, saya tak. Saya guna dia sebagai lonjakan supaya boleh buat dengan lagi bagus,” kongsinya.
Selain Wafiy, lapan selebriti yang terbabit dalam rancangan realiti ini adalah atlet negara speed climbing Mat Redho, pempengaruh media sosial Arieff Yong, pelawak Shashic, model Eric Lay, hos Daniel Cheang, Hawa Rizwana dan pelakon, Jasmine Suraya.
Mereka akan menjalani kehidupan dan latihan sebagai seorang rekrut baharu dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Ditayangkan sebanyak lapan episod, setiap daripada mereka perlu menjalani latihan yang berat dan ringan untuk mengasah diri mereka dan menjadi sebahagian daripada pasukan bomba dan penyelamat.
Penggambaran rancangan ini dilakukan sepenuhnya di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Terengganu untuk menunjukkan kehidupan sebenar ahli bomba dan penyelamat Malaysia menerusi paparan barisan selebriti yang dipilih.
Setiap episod menunjukkan realiti emosi dan cabaran yang perlu diharungi oleh pasukan bomba Malaysia termasuk tatacara memakai pakaian operasi, membentang dan menggulung hos, teknik penyelamatan di bangunan yang runtuh, teknik pemadaman kebakaran dan selainnya.
Real Men Malaysia: Wira Merah akan ditayangkan pada setiap hari Ahad bermula 30 Julai, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104).
Untuk pilihan lebih fleksibel, ia turut boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.
Must-Watch Video