Berita
“Mereka Tidak Pernah Minta Apa-Apa” – Khai Bahar
Dua tahun berturut-turut Khai Bahar mengungguli kategori Penyanyi Lelaki Popular di ABPBH dan hingga kini sudah 18 trofi popular berada di dalam genggamannya. Kesemuanya hasil kerja keras kelab peminatnya, Khai Bahar Empire (KBE) yang tidak jemu-jemu menyokong beliau.
Bila berbicara tentang kelab peminatnya, Khai Bahar terus menguntum senyum. Riak wajahnya kelihatan terharu dan penuh rasa terima kasih.
“Mereka tidak pernah meminta apa-apa kecuali mahukan Khai Berjaya,” ujar Khai penuh makna.
“Sebab itu dalam apa jua persembahan, Khai akan berikan yang paling terbaik supaya mereka turut merasa bangga dengan Khai. Pada masa yang sama, Khai mahu terus bekerja keras untuk memperbaiki persembahan serta nyanyian.
“Tidak kira di mana persembahan Khai, pasti ada penyokong dari KBE yang turut hadir. Itu sesuatu yang Khai anggap luar biasa.
Khai juga berterima kasih kerana peminat-peminatnya bukan hanya dari satu kelompok umur, tetapi melibatkan semua.
“Pernah ada satu keluarga yang sentiasa mengikuti perkembangan Khai dan akan turut hadir bila Khai membuat persembahan. Satu keluarga! Rasa sangat terharu,” ujar Khai lagi.
“Bukan setakat KBE, tetapi Khai ingin juga ucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong Khai di Singapura, Brunei, Indonesia dan di mana-mana sahaja mereka berada.
“Ada juga penyokong-penyokong senyap yang mungkin tidak dapat hadir di persembahan atau mana-mana anugerah, tetapi mereka tetap mengundi Khai. Kesemua mereka ini membahagiakan Khai.
Pada malam Anugerah ABPBH, Khai Bahar terus memegang takhta Penyanyi Lelaki Popular untuk tahun kedua berturut-turut. Beliau menewaskan Aiman Tino, Aizat Amdan, Hael Husaini dan Haqiem Rusli yang turut tercalon dalam kategori yang sama.
Must-Watch Video