FILEM
Meremang…Nak Nangis! Trailer Abah Saya Uncle Mike Buat Ramai Tersentuh – “Belum Full Movie Lagi Ni…”
Baru sahaja dilancarkan secara rasmi semalam, trailer filem Abah Saya Uncle Mike terbitan Astro Shaw sudah berjaya mencuri perhatian ramai apabila rata-rata netizen mengakui tersentuh sehingga menitiskan air mata hanya selepas menonton sedutan tersebut.
Menampilkan kisah benar penuh inspirasi tentang kasih sayang tanpa sempadan bangsa dan agama, netizen tidak menunggu lama untuk membanjiri ruangan media sosial dengan reaksi sebak dan terharu mereka.
“Tengok trailer je dah menitis air mata ni, belum tengok full movie-nya, mau banjir dalam cinema.
“Aku yang membesar dalam keluarga yang sederhana ni memang mudah tersentuh dengan cerita macam ni.
“Weyyy tengok trailer pun aku dah meremang, nak nangis.
“Omg tengok trailer pun dah sebak.
“Emosi la tengok trailer dia,” komen beberapa netizen.
Untuk info, dalam naskhah bergenre drama yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 28 Ogos ini, Andy Teh memegang watak sebagai Uncle Mike, seorang lelaki berbangsa Cina yang secara tidak sengaja terlibat dalam kehidupan tiga beradik yatim piatu berbangsa Melayu iaitu Rafie, Rasyid dan Rahman.
Filem ini diangkat daripada kisah benar Michael Tong Wai Siong, atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, seorang lelaki berbangsa Cina yang membesarkan tiga anak yatim piatu Melayu sejak kecil, lengkap dengan bimbingan rohani dan penghormatan kepada agama Islam.
Dedikasi dan kasih sayang tulus yang ditunjukkan Uncle Mike dalam membesarkan mereka telah menyentuh hati rakyat Malaysia dan mendapat pengiktirafan tertinggi apabila beliau menerima Anugerah Maulidur Rasul 2024 daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas jasa serta pengorbanannya.
Filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama strategik Etika Sdn. Bhd. itu mengetengahkan tema kekeluargaan dan semangat perpaduan, menjentik emosi penonton menerusi mesej bahawa kasih sayang sejati tidak mengenal warna kulit atau darah daging.
Menampilkan pelakon Andy Teh bersama gandingan muda berbakat besar seperti Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur, Abah Saya Uncle Mike turut menggunakan bahasa Melayu, Mandarin dan Kantonis bagi mencerminkan kepelbagaian latar masyarakat Malaysia.
Sinopsis Abah Saya Uncle Mike:
Rafei, anak sulung daripada tiga beradik yatim piatu, cuba melarikan diri dari rumah anak yatim yang penuh dengan penderaan bersama adik-adiknya demi mencari kehidupan yang lebih baik.
Namun, apabila mereka dipisahkan dengan kejam, Rafei diselamatkan buat sementara oleh seorang lelaki berbangsa Cina yang baik hati, Uncle Mike.
Dalam usahanya untuk menyatukan kembali keluarganya, ketiga-tiga beradik dan Uncle Mike akhirnya terpaksa berdepan dengan makna sebenar sebuah keluarga dan menyedari bahawa “Keluarga bukan sekadar pertalian darah.”