HIBURAN

'Meriah Lain Macam' Pilihan Siti Nurhaliza - “Lagu Tu Memang Bahaya Sebab…”

Asyraf Roslan 28/03/2025 | 04:55 MYT

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan bahawa lagu Meriah Lain Macam nyanyian Hael Husaini dan Nadeera Zaini menjadi antara lagu raya kegemarannya tahun ini.

Menurut Siti, yang popular dengan lagu Raya Nak Ke Mana?, Hael Husaini merupakan seorang pencipta lagu yang berbakat besar dan mempunyai keunikan tersendiri dalam menghasilkan karya.

“Tak dinafikan lagu ciptaan Hael, Meriah Lain Macam itu memang bahaya sebab asyik bermain di telinga. Saya rasa dia seorang yang sangat berbakat jadi lagu itu merupakan salah satu yang saya suka,” kata Siti kepada Gempak.

Selain itu, Siti turut memuji dua lagi lagu raya baharu yang berjaya mencuri perhatiannya iaitu Tak Balik Raya nyanyian Umairah dan Serumpun oleh Mimi Fly.
“Lagu Tak Balik Raya nyanyian Umairah pun best, sesuai dengan usianya. Sementara itu, Serumpun pula tidak kurang hebatnya kerana semakin lama didengar, semakin melekat di ingatan.” kongsinya.
Bercakap mengenai keunikan lagu Serumpun, Siti menjelaskan bahawa lagu tersebut sebenarnya mempunyai unsur tradisional tetapi diolah dalam susunan muzik moden.

“Kalau kita dengar betul-betul, lagu itu ada irama Melayu tetapi disampaikan dalam konsep moden dan lebih kepada muzik ‘dance’. Kalau kita masukkan elemen tradisional seperti gendang atau rebana, pasti akan lebih terasa kemelayuannya,” ujarnya.

Sekadar info, Siti juga melancarkan lagu raya baharu iaitu Raya Nak Kemana hasil ciptaan Aisha Retno bersama adiknya, RaDi.
Sejak dilancarkan lagu tersebut telah berjaya mendapat 1.8 juta tontonan di saluran Youtube.
#Hael Husaini #Datuk Seri siti Nurhaliza #Nadeera Zaini #Meriah Lain Macam