Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Meriahnya Sambutan Festival Paluan Gendang Malaysia & Tari Joget Pahang Di Perak!

Amri Hassan
03/11/2022 09:23 MYT
Festival Paluan Gendang Malaysia & Tari Joget Pahang 2022 yang berlangsung di Menara Condong, Teluk Intan, Perak baru-baru ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan dihadiri lebih 2,000 penonton.

Majlis anjuran WAFA Gallery yang berlangsung pada 29 Oktober lalu diadakan bagi menyemarakkan seni dan budaya melalui dana geran sepadan yang diberikan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan MOTAC, Dr. Tan Awang Besar dalam ucapannya menyeru agar penggiat seni mengambil peluang melalui dana yang MOTAC sediakan.

"Melalui inisiatif kerajaan dalam memaju dan memartabatkan industri seni, budaya dan warisan, kerajaan telah menyediakan sejumlah besar peruntukan dalam bentuk geran.

"Geran ini bagi penggiat seni, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan-persatuan dapat melaksanakan program-program seni, budaya dan warisan selaras dengan wawasan kerajaan dalam merancakkan gelembung ekonomi di dalam sektor pelancongan.

"Saya berharap, persatuan tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk bersama- sama menyertai inisiatif kerajaan dan merebut peluang bagi mendapatkan geran dan peruntukan seperti yang saya nyatakan tadi," ujarnya.

Memulakan acara, majlis disajikan dengan persembahan seni silat gayung Malaysia
oleh anak-anak dari Astaka Kota Nilam.
Seterusnya pengunjung dihiburkan dengan persembahan Raja Syair Nusantara, Roslan Madun dengan dendangan syair serta lagu rakyatnya yang cukup popular sekarang ini iaitu, Lemak Manis.

Penyanyi Jamilah Abu Bakar yang popular dengan lagu berirama tradisional, zapin dan keroncong akan tampil dengan lagu Sayang Di Sayang dan Cikgu Meera atau nama sebenarnya Nur Ameera Nabila Azmi dengan lagu Rindu Merindu.

Jamilah dan Cikgu Meera juga berduet menyanyikan lagu popular nyanyian Datuk Siti Nurhaliza iaitu Nirmala.

Kamrul Hussin atau lebih dikenali @waklong yang juga Pensyarah Kanan di Konservatori Muzik Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM, Shah Alam pula bertindak sebagai konduktor persembahan orkestra muzik tradisional turut mempamerkan persembahan unik pukulan gendangnya bersama anak-anak buahnya.

Antara persembahan gendang yang turut dipamerkan ialah gendang rebana ibu Dikir Barat, gendang India (Tabla), gendang Cina (Shigu), gendang Bhangra (Dhol), gendang Sarawak (Ketubong) dan gendang Sabah (Bajau).

Majlis turut dihangatkan dengan persembahan empat penyanyi, Jamilah, Meera, Roslan Madun dan Zuhairi Ibrahim menyanyikan lagu Ayo Mama, Kemasyhuran, Kurik Kendi dan Joget Pahang sebelum mengakhiri majlis.

Selain joget Pahang, penonton dihiburkan dengan persembahan dari artis budaya JKKN Perak dengan tarian India iaitu kolatham dan Cina (tanglung).

Bagi memeriahkan majlis, festival Paluan Gendang Malaysia & Tari Joget Pahang 2022 diakhiri dengan persembahan joget lambak artis bersama tetamu dan penonton yang berada disekeliling Menara Condong, Teluk Intan, Perak.



Festival ini turut mendapat kerjasama Persatuan Penulis Peminat Sastera Perak serta JKKN Perak.

Malam Gala Festival Paluan Gendang Malaysia & Tari Joget Pahang ’22 turut dimeriahkan dengan kehadiran Exco Kerajaan Negeri Perak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Haji Zainol Fadzi Paharudin dan Pengarah Urusan WAFA Gallery, Syed Yusof Wafa bin Syed Nordin.

Festival juga turut dimeriahkan dengan kehadiran wakil Yang DiPertua Majlis Perbandaran Teluk Intan, Ramdhatun Ajma Jemail, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perak, Abdul Rashid Abdullah, Ketua Pengarah MOTAC, Perak, Asrul Zakaria dan Penghulu Nor Hisyam Abd Kadir.

#Perak #MOTAC #Festival Paluan Gendang Malaysia #Tari Joget Pahang
;