Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Mesej Kekeluargaan, Perspektif Berbeza & Realistik! Ini 5 Perkara Menarik Tentang Kerana Korona

Asraf Aided
02/02/2021 06:15 MYT
Filem terbaru arahan Kabir Bhatia, Kerana Korona telah menjengah pawagam di rumah anda menerusi Astro First (saluran 480) sejak 21 Januari lalu.

Apa yang boleh dikatakan, filem ini amat sesuai ditonton umum kerana kisah yang ditampilkan amat realistik dan berkait rapat dengan situasi dihadapi masyarakat yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Di sini, Gempak senaraikan lima perkara menarik mengenai Kerana Korona yang mesti anda tonton.

Babak Menggambarkan Situasi Sebenar

Menerusi salah satu babak dalam filem ini, Laila (watak yang dipegang oleh Fatimah Abu Bakar) mencuci wang kertas untuk menghapuskan kuman dan virus, kemudian mengepitkan wang tersebut pada tali seperti cara menyidai kain jemuran.

Babak ini mungkin kelihatan ringan namun perincian sebegini menggambarkan kelakuan sesetengah orang ketika dilanda pandemik COVID-19. Malah, penulis sendiri pernah berbuat demikian kerana takut terdapat jangkitan virus tersebut pada barangan.

Mesej Kekeluargaan

Di sebalik waktu PKP yang diketengahkan, penonton dapat menyaksikan pelbagai cerita kekeluargaan yang tentunya mengandungi mesej tersendiri.

Anda juga akan menyaksikan bagaimana situasi PKP yang memerlukan kita duduk di rumah mampu membuka mata kita tentang perkara yang tidak pernah disedari sebelum ini.

Sebagai contoh, pasangan Razman dan Zati (Rashidi Ishak & Rita Rudaini) pada mulanya mempunyai masalah rumah tangga. Namun selepas melihat masalah yang menimpa keluarga mereka disebabkan sikap mereka sendiri, mereka cuba perbetulkan kesilapan, dan masa yang diluangkan bersama ketika PKP lah menjadi faktor mereka memikirkan perkara itu.

Perspektif Berbeza

Filem ini dihasilkan daripada pelbagai perspektif, antara yang menarik perhatian adalah ketika Dr. Janna (Ummi Nazeera) mengambil berat tentang nasib yang dialami oleh pendatang asing yang bertugas sebagai tukang cuci di kliniknya.

Tukang cuci yang bernama Arman Khan (Anwaar Beg Moghal) itu meminta pertolongan Dr. Janna merawat rakannya yang sedang sakit. Pada mulanya Dr. Janna enggan membantu kerana rakan Arman tidak mempunyai permit.

Namun Dr. Janna berubah fikiran dan pergi ke rumah rakan Arman untuk membantu. Meskipun mengalami rasa serba salah, namun kita mampu mengerti perasaan itu, rasa kasihan dan perikemanusiaan tidak akan lari dari diri kita sebagai manusia.

Kemudian Arman menceritakan pahit getir hidup mereka sebagai pendatang yang pada mulanya ditipu oleh kontraktor dan terpaksa kasi pagi makan pagi, kais petang makan petang untuk meneruskan kehidupan.

Jalan Cerita Yang Mudah Difahami

Meskipun filem ini menampilkan tiga cerita berbeza, namun penceritaannya sangat jelas dan mudah difahami.

Penonton akan tertunggu-tunggu apa yang akan berlaku pada setiap watak, dalam pada itu, pelbagai perasaan dapat dirasai sepanjang menonton filem ini antaranya geram, marah, gembira, sedih, lucu dan terpulang kepada penghayatan masing-masing.

Meskipun menampilkan suasana yang agak tegang ketika Razman dan Zati mengalami masalah, namun ia diselangi babak-babak comel dan kelakar antara Laila dan Leman (Fatimah Abu Bakar & Datuk Jalaludin Hassan), sudah pasti membuatkan penonton ketawa!

Barisan Pelakon Bukan Calang-Calang!

Ya! Barisan pelakon hebat yang membintangi turut menjadi kekuatan utama filem ini. Datuk Jalaludin Hassan, Fatimah Abu Bakar, Rita Rudaini, Rashidi Ishak, dan Ummi Nazeera telah mempersembahkan naskah Kerana Korona dengan cemerlang.

Lakonan Umar Shakur, Idan Aedan dan Shasha Abedul juga harus diberi pujian kerana mereka berjaya menghidupkan situasi masalah yang dihadapi kanak-kanak dan remaja masa kini.

Kepada anda yang masih belum menyaksikan Kerana Korona, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya kerana pelbagai mesej daripada aspek berbeza dapat dijadikan pengajaran buat kita semua.


#Filem #Astro First #Kerana Korona
;