Meskipun Suara Tak Pernah Kedengaran Di Sidang Media COVID-19, Persaraan Dr Rohaizat Tinggalkan Kesan Kepada Warga KKM

Menerusi sidang media harian COVID-19 petang semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan persaraan wajib Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon.

Pengumuman itu juga membuatkan Dr Noor Hisham sebak ketika mengakhiri sidang media tersebut.

Meskipun suara Dr Rohaizat tidak kedengaran sepanjang sidang media harian COVID-19, namun jasa dan khidmatnya terhadap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amatlah dihargai.

Memetik kemas kini Facebook Friends of Malaysia Frontliners, Dr Rohaizat disifatkan sebagai salah seorang wira dalam perang menentang COVID-19 yang telah bekerja sehingga hari terakhir perkhidmatannya di KKM.

"Selamat bersara Dr Rohaizat, salah seorang wira dalam perang COVID-19.

"Inilah Datuk Dr Rohaizat Haji Yon, orang yang bekerja sehingga ke hari terakhir beliau di Kementerian Kesihatan Malaysia. Mengabdikan diri sekian lama untuk warganegara menikmati perkhidmatan kesihatan terbaik sedaya upayanya.

"Pengorbanannya besar kepada negara, suaranya tidak pernah mengisi sidang media harian mengenai COVID-19, Dr Rohaizat sangat disayangi, disegani warga KKM kerana kegigihannya, keberaniannya bersuara dalam perbincangan dan mesyuarat. Dikenali konsisten dalam perjuangannya," tulis pengendali akaun di entri berkenaan.

Dalam pada itu, dedikasi khas itu turut mendedahkan Dr Rohaizat telah berkorban cuti dan banyak membantu proses siap sedia para petugas kesihatan.

"Di saat persaraannya, cuti yang terkumpul bertimbun-timbun terpaksa dikorbankan begitu sahaja kerana pandemik COVID-19 melanda seluruh negara dan dunia.

"Bertugas siang dan malam memastikan kesiapsiagaan jururawat, pembantu perubatan, doktor, ambulans, koroner, katil, ventilator, segala jenis ubat, pakaian perlindungan peribadi (PPE), topeng hidung dan mulut, sarung tangan, sarung kasut, apron dan segela peranti tersedia ketika aman mahu pun ketika negara menangani wabak COVID-19," tulisnya lagi.


Menerusi sidang media petang semalam, Dr Noor Hisham telah mengucapkan penghargaan atas jasa dan komitmen yang diberi oleh rakan seperjuangannya itu sepanjang bertugas di KKM.

Difahamkan, Dr Rohaizat telah berjasa kepada KKM selama 35 tahun 10 hari.