Isu kompaun yang didakwa berat sebelah oleh pihak berkuasa nampak gayanya masih belum reda.

Kontroversi tersebut kembali tercetus apabila sebuah penganjur acara sukan permotoran telah didenda sebanyak RM20,000, baru-baru ini.

Penganjur tersebut didenda atas sebab melakukan aktiviti dengan kehadiran orang ramai sehingga sukar melaksanakan penjarakan fizikal dan pematuhan arahan.

Susulan itu, pihak penganjur telah mengeluarkan kenyataan rasmi dan mengakui kesilapan mereka kerana gagal melaksanakan acara mengikut ketetapan norma baru.

Biarpun kesilapan itu telah diakui penganjur, kes itu dilihat tidak terhenti di situ sebaliknya ramai netizen membandingkan isu tersebut dengan majlis perkahwinan seorang selebriti popular yang berlangsung baru-baru ini.

Kebanyakan mereka membandingkan perbezaan ‘layanan’ diterima walaupun kedua-duanya telah melanggar pematuhan SOP yang sama.

“Aik tak ada kertas siasatan, terus saman RM20,000”

“Golongan kayangan semua tunggu nak buka kertas siasatan”

“Kes selebriti kahwin tu apa cerita, masih tak settle ke” tulis beberapa netizen.

Sekadar info, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini menjelaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu termasuk golongan selebriti dan orang kenamaan (VIP), yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP).

"Tidak ada sesiapa yang mengatasi undang-undang yang ada dalam negara kita. Semua rakyat tidak kira siapa, VIP ke tak VIP ke.

"Semuanya tertakluk kepada undang-undang dan sesiapa yang melanggar undang-undang dan SOP, mereka akan dikenakan tindakan," katanya.

Apapun, jangan menuding jari mana-mana pihak dan biarlah pihak berkuasa jalankan tugas dengan integriti.