Mia Ahmad dan Izham Tarmizi Sah Bergelar Suami Isteri

Rozaimi Zubaidi
Januari 13, 2017 04:31 MYT
Pelakon yang popular menerusi Hati Perempuan, Mia Ahmad selamat bergelar isteri dengan sekali lafaz kepada penjaga gol JDT, Mohd Izham Tarmizi Roslan.
Pasangan itu dinikahkan kira-kira pukul 10.18 pagi oleh jurunikah Ustaz Abdul Rashid Azidin dengan disaksikan oleh bapa pengantin perempuan Ahmad Baderi dalam satu majlis yang berlangsung di Villa Sentosa, Taiping, Perak.
Shamiha Ahmad Baderi atau dikenali sebagai Mia Ahmad, 29, menerima mas kahwin sebanyak RM2,000 dan menerima tujuh dulang hantaran daripada pengantin lelaki dan dibalas sembilan dulang.
Namun, wang hantaran untuk majlis perkahwinan tersebut dirahsiakan.
Mia kelihatan anggun apabila mengenakan pakaian busana daripada pereka fesyen Lynda Rahim.
Majlis tersebut dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat kedua-dua belah pihak.
Pasangan ini akan mengadakan majlis resepsi di Taiping Golf & Country Club Perak pada Sabtu (esok).
Majlis menyambut menantu akan diadakan di Terengganu pada Mac 2017, manakala majlis untuk rakan-rakan di Kuala Lumpur pada penghujung Januari tahun yang sama.
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Sumber: mStar Online
#Kahwin #Mia Ahmad #Kahwin #Izham Tarmizi