VIRAL

Mia Azahar Tampil Perjelas Isu Bibik, Perkataan ‘Kepam’ Bukan Bermaksud Hina Fizikal - “Aku Memang Perasan Dia Agak…”

Asyikin Mayudin 16/04/2025 | 00:55 MYT
Pempengaruh media sosial, Mia Azahar tampil memberi penjelasan mengenai video yang tular yang melibatkan pembantu rumahnya.

Bukan hina fizikal

Menurut Mia, kapsyen ‘kepam’ yang ditulis di video memperlihatkan pembantu rumahnya itu bukan bermaksud fizikal wanita itu gemuk sebaliknya ia disebabkan masalah kebersihan.

"Ada sebab kenapa aku panggil dia kepam. Bukannya sebab dia gemuk. Aku langsung tak ada sentuh pasal fizikal dia, kau jangan nak pusing cerita.

"Aku memang perasan dia agak tak bersih. Dia berpeluh ketika kerja, dia lap peluh kemudian dia lap pula muka anak aku.

"Ada satu video dia korek hidung, kesat dekat baju dia dan angkat anak aku," ujar pempengaruh itu menerusi video di TiKTok.

Tak bersih

Mia turut mendakwa pembantu rumahnya tidak membersihkan peralatan dapur serta tidak mencuci kesan muntah pada pakaian anaknya.

Malah, Mia meluahkan rasa kesal atas kegagalan pembantu rumah untuk memaklumkan kejadian yang menimpa anaknya.

"Isunya, aku cuma meluahkan rasa kesal sebab anak aku jatuh dalam jagaan dia tapi dia tak maklumkan langsung. Anak aku jatuh terlentang, kepala dia terhempap atas simen.

"Lepas tu ada bed frame pula terhempap atas dia. Anak aku baru setahun sembilan bulan, dia tak tahu apa-apa, dia tak tahu bahaya. Lepas jatuh, dia tak maklumkan aku atau mentua aku.

"Mentua aku ada dalam rumah, tengah jaga baby. Kejadian berlaku pukul 8 pagi dan 10 malam baru tahu lepas aku semak kamera litar tertutup (CCTV)," ujarnya lagi.

Jelas Mia, dia menonton rakaman itu ketika masih berada di China atas urusan kerja.

Pemeriksaan kesihatan

Sekiranya dimaklumkan awal, Mia berkata dia boleh meminta bantuan untuk menghantar anaknya untuk pemeriksaan kesihatan.

Pada penghujung video, Mia turut memohon maaf sekiranya dia ada menyakiti sesiapa dan sekali lagi menjelaskan tentang penggunaan perkataan 'kepam' terhadap bibiknya.

"Aku minta maaf jika aku pernah sakiti sesiapa secara sengaja atau tak. Sekali lagi nak tekankan, aku memang tak hina fizikal bibik aku.

"Sumpah aku tak ada cakap pasal fizikal dia, tak ada cakap dia gemuk, korang yang buat andaian sendiri. Aku cakap kepam bukan sebab badan dia, tapi sebab kebersihan dia. Itu sahaja," ujar Mia.

Di ruangan komen, Mia mengesahkan dia sudah memberitahu ejen dan pembantu berkenaan sudah tidak lagi berada di rumahnya.

"Saya sudah beritahu ejen dan dah hantar balik dah," tulis Mia sebagai respon kepada pertanyaan netizen.

Video penjelasan pempengaruh itu meraih 1.1 juta tontonan selepas lapan jam ia dimuat naik ke TikTok.

#Bibik #Kepam #Pempengaruh #Mia Azahar