Michelle Yeoh Tercalon Oscar, Ini Reaksi Bront Palarae; “Tiada Apa Nak Dibanggakan, Sebab Dia Bukan…”
05/02/2023 14:00 MYT
Pelakon Bront Palarae berpendapat bahawa kejayaan yang diraih Tan Sri Michelle Yeoh yang menembusi senarai pencalonan anugerah berprestij dunia, Oscar baru baru ini boleh dijadikan inspirasi terutama kepada pelakon baharu.
Pun begitu, kata Bront, 44, perkara tersebut bukan menjadi sebab untuk industri hiburan dan lakon layar negara untuk menumpang nama memandangkan Michelle bukanlah hasil daripada produk industri hiburan tempatan.
Ini kerana, aktres berkenaan memulakan karier lakonannya di Hong Kong sehingga berjaya membuka jalan untuknya ke pasaran Hollywood.
“Tiada apa yang industri kita nak banggakan sebab dia bukanlah daripada industri kita. Memang betul dia lahir di Malaysia, tapi dia adalah pelakon Hong Kong.
“Namun pencalonan Michelle boleh memberi inspirasi kepada kita khusus anak muda untuk pack your bag and leave, kerana selalu ada saja peluang di tempat lain. Michelle sudah menunjukkan laluan dan jalan itu dengan lebih jelas.
“Tapi sekiranya anda mahu bertahan di dalam industri tempatan dan memperjuangkannya, juga tak mengapa. Hendry Golding bermula di Malaysia walaupun belum tercalon Oscar,” kongsinya kepada Gempak.
Bront berkata demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan filem lakonan terbaharunya berjudul Harum Malam yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini.
Dalam masa sama, aktor tinggi lampai turut menjelaskan bahawa Malaysia memiliki bakat-bakat hebat dalam kalangan anak seni tempatan.
Namun sayangnya, tidak semua pihak yang tahu menghargai dan memaksimumkan potensi bakat yang dimiliki tersebut.
“Apa yang jelas, kita tidak ketandusan bakat. Tapi kita ketandusan orang yang pandai menghargai bakat-bakat ini.
“Yang paling susah bukan nak cari perbezaan antara kaca dan permata. Tapi nak cari orang yang pandai menilai mana satu kaca dan permata. Kegagalan ini menjadi sesuatu yang menyedihkan untuk industri,” tambahnya.
Selain Bront, Harum Malam turut dibintangi Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud dan Faizal Hussein. Filem ini juga memperkenalkan bakat-bakat muda yang menyinar seperti Idan Aedan, Arnie Shasha dan Angelica Petra.
Harum Malam berkisarkan pergelutan hidup Iqbal, seorang remaja dan pelatih perubatan tradisional yang mampu melihat makhluk ghaib pada mata kasar manusia. Keupayaan luar biasa ini mengakibatkan Iqbal sering diganggu makhluk dan ancaman dari dunia alam ghaib sehingga sukar untuk Iqbal membezakan antara realiti dan ghaib. Satu peristiwa telah menyebabkan rakan-rakan dan keluarga Iqbal terdedah dengan makhluk ghaib yang amat merbahaya. Tanpa mempunyai pilihan, Iqbal terpaksa menggunakan kebolehan istimewa ini untuk melawan makhluk tersebut.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.