Hiburan
Miera Liyana Cabar Diri Jadi Pengarah
Pelakon Miera Liyana akui buat pertama kalinya bakal mengarahkan telefilem berjudul Lat Talilat Tali Tam Plom terbitan Kuasatek Pictures Sdn Bhd.
Miera Liyana atau nama sebenarnya Miera Leyana Kasmi, 23, berkata dia tidak pernah menyangka bakal duduk di kerusi pengarah sebaliknya menerima tawaran tersebut sebagai cabaran.
"Sebelum ini saya banyak projek berlakon di bawah terbitan Kuasatek Pictures, tidak sangka pula kali ini mereka beri kepercayaan untuk saya mengarah pula.
"Terus-terang pada mulanya saya tidak berapa yakin tetapi bila penerbitnya Mohd Noor Kadir sendiri memberi kepercayaan serta semangat, jadi saya terimanya sebagai cabaran.
"Lagipun saya tidak keseorangan kerana saya akan mengarah bersama seorang lagi pengarah Aliff iaitu anak kepada Mohd Noor sendiri," katanya kepada Astro Gempak.
Bukan sahaja mengarah, Miera turut bakal berlakon dalam Lat Talilat Tali Tam Plom.
Bercerita mengenai telefilem tersebut, Miera memberitahu ia bakal memulakan penggambaran pertamanya di Paris dan London pada 10 hingga 18 April ini.
"Ia merupakan telefilem bergenre komedi dan kami akan memulakan penggambaran di Paris dan London dahulu. Skripnya ditulis sendiri oleh Mohd Noor Kadir.
"Di sana tiada pelakon ternama yang akan terlibat hanya pelajar dan pelakon tambahan sahaja.
"Buat masa ini, penerbit masih belum nama lagi siapa pelakon akan terlibat. Begitulah style Mohd Noor Kadir, katanya dia akan mula pilih pelakon yang dia mahu bila kami tiba di Malaysia nanti.
"Saya harap saya boleh lakukannya dengan baik kerana ia produk pertama saya sebagai pengarah," katanya lagi.
Teks oleh Syafiqah Jalal
Must-Watch Video