Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

MIFFest Edisi Ke-6 Bakal Terbangkan Bintang Terkemuka Dunia Sebagai Tetamu Istimewa

Shahrin Zulkifle
08/03/2023 06:00 MYT

Seorang bintang terkemuka dunia dijangka bakal hadir pada Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) keenam yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 29 Julai depan.

Presiden MIFFest, Joanne Goh yang juga bertindak sebagai penganjur berkata buat masa ini pihaknya tidak boleh mendedahkan siapakah bintang tersebut, namun memberi sedikit bayangan seorang lelaki.

Malah, pihaknya juga berhasrat untuk mengundang aktres Hollywood kelahiran Malaysia iaitu Tan Sri Michelle Yeoh bagi menghangatkan acara berkenaan.

Bintang terkenal dunia bakal hadir

“Pihak kami sangat teruja untuk edisi kali keenam ini dan tidak sabar untuk menuju ke tarikh acara tersebut. Ingin juga kami kongsikan satu berita gembira iaitu akan ada seorang bintang terkenal dunia yang akan kami bawakan pada majlis tersebut.

“Tetapi siapakah dia saya tidak boleh lagi dedahkan, cumanya dia seorang lelaki. Pastinya dia seorang yang sangat terkenal

“Kami juga pernah mengundang Michelle Yeoh beberapa kali pada edisi sebelum ini, tetapi dia tidak dapat hadir kerana tarikh acara kami selalunya bertembung dengan penggambarannya.

“Untuk edisi kali ini belum lagi hantar undangan, namun pihak kami akan cuba menjemputnya lagi,” katanya kepada Gempak.

Joanne berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media MIFFest edisi ke-6 yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini.

300 penyertaan diterima MIFFest

Berkongsi mengenai penyertaan bagi edisi kali ini, Joanne berkata pihaknya sangat berbangga apabila MIFFest semakin meraih kepercayaan daripada pengkarya seluruh dunia selepas lebih 300 penyertaan diterima untuk dipertandingkan tahun ini.

"Untuk edisi kali ini penyertaan sangat memberangsangkan kerana kami menerima lebih 300 penyertaan.

“Jika dilihat edisi sebelumnya tidak mencecah pun 200 pencalonan. Kami juga terima penyertaan filem dari pelbagai rantau termasuk Eropah, Asia dan lain-lain sekali gus membuktikan MIFFest semakin dikenali dan diterima baik.

"Penyertaan dari Malaysia juga semakin baik dan bertambah dari tahun sebelumnya, kira-kira 20 filem yang mewakili Malaysia. Saya yakin kali ini penjurian akan lebih mencabar dan kita nantikan filem mana yang bakal bersinar," tambahnya lagi.

Bekerjasama dengan BMW Shorties

Untuk edisi keenam ini, MIFFest turut mengumumkan kerjasama dengan BMW Shorties, pertandingan filem pendek paling berprestij yang sudah wujud sejak 17 tahun lalu.

Pemenang hadiah utama BMW Shorties kali ini bakal menerima geran RM80,000 dan hadiah lain. Beberapa filem yang memenangi pertandingan juga bakal ditayangkan di festival itu.

Selain BMW Shorties, MIFFest turut meneruskan kerjasama dengan beberapa pihak termasuk TikTok Malaysia sebagai rakan kongsi rasmi untuk MIFFest, kerjasama berterusan dengan Udine Far East Film Festival (FEFF) di Itali, dan penampilan semula pelakon terkenal Malaysia Bront Palarae sebagai duta festival.

#Bront Palarae #Michelle Yeoh #Festival Filem Malaysia Antarabangsa #Joanne Goh #MIFFest
;