Perlukan bantuan Don Arif? Jom jumpa pada 31 Oktober ini di pawagam! ?

Mikayla, Maleeq Dragster Menang Besar Di M8 Malaysia Pushbike GP Series 2024, Siap Sedia Ke Jepun!

Amri Hassan
25/10/2024 11:20 MYT
Pasukan M8 Pushbike sekali lagi membuktikan keunggulan mereka dengan menakluk M8 Malaysia Pushbike GP Series 2024, memenangi tujuh daripada sembilan kategori yang dipertandingkan.

Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli, menyatakan bahawa kejayaan ini menjadi titik tolak penting dalam perjalanan pasukan untuk menghadapi cabaran di RCS World Championship di Jepun, yang akan berlangsung pada Januari 2025.

“Pertandingan ini merupakan ujian penting untuk mengukur tahap persediaan pasukan sebelum menghadapi kejohanan di peringkat dunia. Dengan kemenangan konsisten dan persiapan yang teliti, pasukan M8 kini berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi cabaran di Jepun.

“Kemenangan di Malaysia ini juga menjadi dorongan besar untuk membuktikan bahawa M8 mampu bersaing di peringkat tertinggi di Kejuaraan Dunia RCS 2025.

“Selain prestasi di litar, kejohanan ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak, menjadikannya satu kejayaan yang signifikan buat pasukan M8,” ujarnya.

Mikayla, salah seorang pelumba utama pasukan, berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan bagi kategori Open Girl. Dia turut memperkukuhkan kejayaannya dengan menduduki tempat kelima keseluruhan dalam kategori Super.

Selain itu, bintang muda Maleeq Dragster juga tidak mengecewakan apabila muncul juara keseluruhan, mengatasi pelumba dari lima negara termasuk Indonesia, Thailand, Singapura, Jepun, dan Malaysia.





Menurut Wan Mohd Muzri, pasukan M8 turut menguatkan barisan mereka dengan menyertakan pelumba Jepun, Kai Kai, untuk siri keempat dan kelima. Kai Kai berjaya memenangi kategori 2017 dalam kedua-dua siri tersebut, sekali gus meningkatkan keyakinan pasukan untuk menghadapi Kejuaraan Dunia.

“Kejayaan Kai Kai memberi suntikan semangat kepada seluruh pasukan untuk mencapai kemenangan di RCS World Championship di Jepun nanti,” katanya.

Sokongan padu daripada pelbagai pihak juga menjadikan kejohanan ini satu kejayaan besar, termasuk daripada Petronas Sepang International Circuit (SIC), ZK Racing, MiniGP Malaysia, dan Kementerian Belia & Sukan (KBS).

Selain itu, pihak lain seperti Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Bike8 Malaysia, dan Rockfish Malaysia turut memberikan sokongan yang besar dalam memastikan kelancaran penganjuran M8 Malaysia Pushbike GP Series 2024.

Di sebalik prestasi hebat pasukan, pelumba harapan, Mikael, berjaya meraih tempat ketiga keseluruhan bagi kategori terbuka lelaki walaupun mengalami kecederaan selepas terjatuh dalam siri keempat dan kelima.

Datin Seri Nursyafira, ibu kepada Mikael serta dua lagi pelumba hebat dalam pasukan, menyatakan rasa sedih dengan kecederaan anaknya, namun yakin Mikael akan bangkit dan menunjukkan prestasi lebih baik pada tahun 2025.

“Walaupun Mikael cedera, saya bangga dia masih mampu meraih tempat ketiga keseluruhan. Kejayaan Maleeq dan Mikayla pula menjadi kebanggaan keluarga dengan kedua-duanya muncul juara keseluruhan untuk lima siri pada tahun 2024. Alhamdulillah,” katanya.
#Viral #Jepun #Maleeq #Pushbike #GP Series #Mikayla
;