BERITA
Mikrofon Impian : "Insya-Allah, Apa Yang Saya Hutang Selama Ini Dapat Diselesaikan" - Azinawati Menangi RM 20,000
Peserta Mikrofon Impian, Azinawati berjaya membawa pulang RM 20,000 apabila berjaya di dua pusingan dalam episod kesembilan malam tadi.
Azinawati mengalami masalah kewangan selepas rumah yang didiami bersama keluargnya terbakar empat tahun lalu.
Menerusi segmen Cerita Mikrofon Impian, Azinawati meluahkan rasa syukur dan gembira kerana berjaya menjawab soalan dan memilih mikrofon yang berfungsi dalam pusingan kedua pertandingan itu.
"Saya sangat gembira kerana berjaya menjawab soalan dengan betul, saya akui jawapannya agak mengelirukan, namun rezeki memihak kepada saya.
"Insya-Allah, apa yang saya hutang selama ini dapat diselesaikan," katanya.
Sementara itu, pesaing Azinawati malam tadi, Dini tidak berjaya mara ke pusingan kedua namun masih diberikan wang sisipan sebanyak RM 2000.
"Saya tidak sedih kerana tidak menang malam ini, kita sudah tahu beginilah adat pertandingan.
"Mungkin bukan di sini rezeki saya, kita tak tahu rezeki yang Allah akan berikan di masa akan datang," ujarnya.
Program Mikrofon Impian diterajui Datuk Aznil Nawawi atau mesra disapa Pak Nil sebagai hos dan menampilkan tiga juri tetap iaitu Fauziah Latiff, Azmi Saat dan Pengarah Urusan Chatime Malaysia, Aliza Ali yang akan mengadili para peserta.
Dua peserta akan berentap dalam pusingan kalah mati untuk setiap episod dan mereka diminta menjelaskan situasi kewangan sebelum menyanyikan lagu pilihan masing-masing di hadapan juri.
Masyarakat yang prihatin boleh turut membantu dengan menyumbang secara ikhlas kepada peserta yang memerlukan sekiranya mereka gagal memenangi sebarang wang kemenangan menerusi platform MaybankHeart.
Mikrofon Impian dibawakan oleh Chatime Malaysia bersiaran setiap hari Ahad, jam 9.00 malam menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Must-Watch Video