Laman Utama
Mila Jirin Terpaksa Buat Pinjaman Bank Bayar Gaji Pekerja - "Mereka Pun Ada Komitmen..."
Penyanyi dan usahawan terkenal, Mila Jirin reda dan berserah kepada Tuhan atas detik sukar yang berlaku sepanjang pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.
Namun menurut Mila, seseorang usahawan harus mempunyai pelbagai perancangan untuk terus mencari rezeki.
"Disebabkan kita dah melalui PKP setahun lebih, jadi kali ini saya lebih bersiap sedia dengan apa yang berlaku.
"Semestinya saya reda dan berserah kepada Allah SWT atas apa yang berlaku, selain itu, kita mesti ada pelbagai perancangan, kalau tak jadi satu, boleh buat perkara lain, bak kata orang plan B, C, D dan seterusnya," selorohnya.
Mila berkata demikian ketika ditemubual secara virtual sebentar tadi.
Ditanya mengenai pinjaman bank yang dibuat untuk membayar gaji para pekerjanya, Mila akui memahami situasi setiap pekerja yang mempunyai komitmen masing-masing.
"Tak pernah dalam sejarah seorang majikan, membuat pinjaman untuk membayar gaji pekerja, saya pasti ramai usahawan di luar sana juga melakukan perkara sama.
"Tak dinafikan dalam perniagaan kita ada 'cash reserve', tapi ia macam bukit, lama-kelamaan kalau ditarah akan habis juga.
"Bagaimanapun, keputusan untuk membuat pinjaman ini ada perancangan yang betul, Insya-Allah ada cara untuk kita bayar semula.
"Saya percaya ini adalah dugaan yang Allah beri untuk saya, saya juga mengenang pasukan saya, mereka juga ada kerisauan mereka sendiri.
"Jadi, saya sebagai majikan harus tentukan dan ada yang terpaksa mengalami pengurangan gaji dan sebagainya, apa yang penting, kita mahu semuanya masih ada pendapatan kerana masing-masing ada komitmen," katanya.
Difahamkan, jumlah keseluruhan pekerja Mila sehingga hari ini mencecah sekitar 117 orang dibawah enam syarikat yang diuruskannya dan jumlah gaji yang diberikan kepada mereka secara keseluruhan mencecah RM200,000 sebulan.
Mila adalah pengasas dan pemilik syarikat Bizmilla yang menawarkan pakej perkahwinan, katering dan lain-lain.
Mila juga sedang aktif berniaga durian yang semakin mendapat sambutan di media sosial.