Nama penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi topik sohor kini di Twitter apabila beliau tersenarai antara Top 100 Most Awarded Musician of All-Time.

Menerusi akaun Twitter sumber utama perkembangan pemuzik antarabangsa iaitu The Artist Museum, Siti Nurhaliza menduduki tempat ke-27 dengan jumlah 329 anugerah yang diterima sepanjang berada dalam industri seni.

Peminat yang berkongsi keterujaan melihat pesohor kesayangan mereka mula menciap pelbagai ucapan penghargaan dan rasa bangga menyaksikan kegemilangan Siti menewaskan beberapa penyanyi terkenal antarabangsa lain.

Antaranya Justin Timberlake, Usher, Nicky Minaj, Katy Pery, Celine Dion, Selena Gomez, Bruno Mars, Alicia Keys, Christina Aguilera dan kumpulan K-pop terkenal Super Junior serta TWICE.

Menerusi senarai yang dikeluarkan, Michael Jackson menduduki tangga pertama dengan jumlah 1,003 anugerah diikuti Beyonce (896), Taylor Swift (867), BTS (784), Justin Bieber (720) dan Whitney Houston (714).

Rayu netizen antara lainnya agar Siti Nurhaliza jangan berhenti menyanyi dan terus menghiburkan orang ramai dengan suara buluh perindu beliau.

"Wow Siti Nurhaliza top 30 in the world. The one and only Malaysia artist in the list. Proud of you queen!

"Tahniah Siti Nurhaliza. Sentiasa menjadi penyanyi nombor satu dan satu-satunya penyanyi saya. Tolong, jangan berhenti menyanyi. Kami masih perlukan anda dalam industri.

"Wow tahniah Datuk Seri Siti Nurhaliza. Dahsyat betul boleh masuk dalam senarai ni.

"Hanya satu-satunya artis Malaysia yang mewakili bersama bintang terkemuka yang lain. Syabas DS Siti Nurhaliza!

"Wow ada Siti Nurhaliza dan kedudukannya di atas Celine Dion," komen beberapa netizen.

Untuk rekod, Siti Nurhaliza adalah artis Malaysia yang paling banyak menerima anugerah sehinggakan rekod beliau telah dilakarkan dalam Malaysia Book of Records pada tahun 2001 dan kekal pemegang rekod sama sehingga kini.

Penyanyi berusia 43 tahun itu telah menerima dan memenangi lebih dari 300 anugerah tempatan dan antarabangsa.

Antara anugerah yang diungguli beliau seperti 42 anugerah di Anugerah Industri Muzik, 25 anugerah di Anugerah Bintang Popular, 28 anugerah di Anugerah Planet Muzik, 20 anugerah di Anugerah Juara Lagu, empat di Anugerah MTV Asia, tiga di World Music Awards, dua di Anugerah Musik Indonesia dan pemegang dua rekod dalam Malaysia Book of Records.