Miliki Vokal Unik, Marcell Pilih Noh Salleh

Amri Hassan
September 12, 2017 04:30 MYT
Penyanyi Indonesia, Marcell Siahaan, 40, memilih vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, untuk berkongsi pentas sempena konsert Marcell Once In A Lifetime pada 23 September depan.
Katanya, Noh memiliki vokal yang unik serta kagum dengan kredibiliti dan kreativiti yang dimiliki oleh kumpulan Hujan.
"Saya tak pernah berkolaborasi dengan Noh dan sejujurnya saya mengagumi kumpulan Hujan. Noh juga sangat bagus!" puji Marcell.
Bagaimanapun, Marcell enggan mendedahkan judul dan jumlah lagu yang akan dinyanyikan oleh Noh sempena konsert tersebut.
Selain Noh, konsert terbesar Marcell itu bakal melibatkan pemain saksofon dari Malaysia, Jimmy Sax.
Selebihnya Marcell masih memberikan mandat kepada pemuziknya dari Indonesia untuk mengiringi persembahannya nanti.
Selepas 15 tahun berkecimpung dalam dunia seni, Marcell memilih Plenary Hall, KLCC untuk konsert solonya pada 23 September nanti.
Dalam konsert itu, sebanyak 40 buah lagu bakal dipersembahkan daripada lapan album studio Marcell.
Tiket boleh serendah RM99 hingga RM2,099 boleh didapati di www.goersapp.com, airasiaredtix.com, kiostix.com dan tiket.com.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @marcellsiahaans, @mohammadnohbinsalleh
#Indonesia #Noh Salleh #Marcell Siahaan