Hiburan
Miller Khan Dedah Pengalaman Lihat Kru Dirasuk... Seram!
Pelakon Miller Khan mendedahkan dia tidak dapat melupakan pengalaman ketika seorang kru dirasuk ketika menjalani penggambaran filem seram Hide & Seek Minako di Jakarta.
Menurut Miller, kru tersebut didakwa telah membuang 'barang' dalam bilik air di bilik rehat sehingga menyebabkan makhluk halus itu marah.
"Selepas selesai satu babak filem itu sekitar jam 3 pagi, saya ke bilik rehat yang disediakan.
"Saya diberitahu seorang kru sedang dirasuk 'Kuntilanak'.
"Dia mengamuk sambil membaling barang sehingga menakutkan semua kru yang berada di situ.
"Kru lain memberitahu saya, kru yang sedang dirasuk itu dipercayai membuang 'barang' di dalam bilik air dalam bilik rehat itu sehingga menyebabkan makhluk halus itu marah," katanya kepada Gempak.
Miller ditemui ketika sidang media filem Hide & Seek Minako di One Utama semalam.
Tambah pemilik nama penuh Mohammad Suhaemi Ali Dad Khan ini, pengalaman itu merupakan pengalaman paling menakutkan sepanjang dia bergelar seorang pelakon.
"Sehingga hari ini, saya tidak dapat melupakan cara kru yang dirasuk itu melihat saya.
"Apabila saya masuk dan kami bertentang mata, dia terus diam melihat saya," katanya lagi.
Selain Miller, antara barisan pelakon yang turut membintangi filem itu adalah Nicky Tirta, Ario Astungkoro, Novinta Dhini, Regina Rengganis dan ramai lagi.
Filem Hide & Seek Minako ini bakal ditayangkan di pawagam bermula 28 Februari ini.