HIBURAN
Mimi Fly Ucap Terima Kasih, Syukur Sempat Selamatkan Serumpun - “Bila Dengar Teguran Mufti, Saya Berbincang Dengan Mama Dan Berfikir…”
Penyanyi, Mimi Fly berterima kasih atas teguran dan nasihat yang diberikan terhadap muzik video (MV) lagu raya Serumpun yang menjadi tular baru-baru ini.
Terima teguran dengan ikhlas
Tidak cepat melatah dan mengakui kekhilafannya, Mimi berkata selepas menerima teguran daripada orang ramai termasuk mufti, dia sendiri telah berbincang dengan ibunya mengenai hal itu dan membuat keputusan untuk menurunkan MV berkenaan dari platform perkongsian video, YouTube.
“Saya sangat memahami, bagi saya bila bekerja, kita sebagai karyawan kena hormat karyawan yang lain.
“Saya tidak buat berseorangan, saya ada pasukan yang semuanya bersatu padu menyempurnakan karya Serumpun.
“Jadi saya faham bila ada yang tak berapa suka tapi saya buat penggambaran semua gembira (team) kerana jelas cantik busana-busana yang saya cuba nak sampaikan dihujung lagu Serumpun tu.
“Tetapi, saya buat keputusan bila kita dah dengar teguran daripada mufti Wilayah Persekutuan dan saya berbincang juga dengan mama.
“Saya berfikir begini… Lagu raya ini akan berada setiap tahun, jadi saya turutkan. Maksud saya, saya turutkan agar lagu Serumpun ini sampai di setiap pelusuk.
“Bukannya hanya untuk orang yang suka muzik saya sahaja tapi untuk orang lain yang tak suka Mimi tetapi suka lagu ini pun boleh enjoy dengan menonton muzik video yang baharu.
“Saya buat ini untuk Serumpun, saya kena lindungi karya saya. Karya Serumpun ini sudah tertulis marketnya lebih besar, lebih umum berbanding karya karya saya yang lain.
“Jadi untuk itu saya mengambil keputusan untuk turutkan bagaimana kehendak ‘market’,” jelasnya.
Mimi berkata demikian ketika ditemui pada sesi rakaman Gempak Jam Session Raya bertempat di Sora Studio pada Khamis.
Syukur berjaya selamatkan Serumpun
Dalam pada itu, Mimi berkata dia juga bersyukur dengan adanya pasukan yang tangkas, dia berjaya menyelamatkan karya Serumpun tepat pada masanya.
“Mama saya kata tak apa kita boleh cari jalan sebab saya ada pasukan yang baik dan kami sudah seperti keluarga bermula daripada lagu Angkat.
“Masalah masalah ini kami berbincang sama-sama, dapatkan kata sepakat, kemudian saya bincang pula dengan pengarah.
“Jadi keputusannya drastik, keputusan itu harus cepat, tetapi saya sangat bersyukur. Alhamdulillah pasukan produksi saya ini sangat sangat efisyen dan tangkas.
“Jadi saya sempat selamatkan Serumpun, saya sangat bersyukur dengan keputusan itu, mama juga gembira,” ujarnya.
SAKSIKAN VIDEO TEMU BUAL PENUH MIMI FLY BERSAMA GEMPAK DI ATAS
Terdahulu, MV Serumpun berdepan reaksi negatif pelbagai pihak yang menyifatkan busana terdedah ala kemban digayakannya tidak sopan untuk lagu raya.
Malah, isu itu turut meraih perhatian parti politik Wanita Amanah Wilayah Persekutuan yang mengecam dengan mendakwa MV berkenaan bertentangan ajaran Islam serta maksud sebenar Aidilfitri.
Difahamkan, penampilan pakaian klasik Melayu, Jawa serta etnik Thai dalam MV terbabit sebagai simbol kepelbagaian budaya yang turut meraikan Aidilfitri walaupun berbeza asal.
Susulan pelbagai reaksi yang diterima terhadap muzik video lagu Serumpun, Mimi tampil membuat permohonan maaf sekali lagi secara terbuka.
Kata Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norisham, 38, dia akur dengan nasihat dan teguran yang diberikan oleh orang ramai dan memilih untuk menurunkan muzik video asal lagu raya tersebut.
Malah, bekas anggota kumpulan One Nation Emcees itu juga memaklumkan bahawa pihak kru dan produksi sudah melakukan gubahan semula pada muzik video yang akan dilancarkan semula pada Rabu.
Must-Watch Video