Penyanyi Hazama akui segan untuk bergandingan bersama Elizabeth Tan dalam muzik video (MV) lagu terbaharu mereka berjudul Beku.

Bagaimanapun Hazama menyatakan rasa lega apabila babak yang dilakonkan bersama Elizabeth atau lebih mesra dengan panggilan Lizzy itu tidak banyak.

“Sejujurnya masa proses penggambaran Beku, saya berasa sengan dengan Lizzzy sebab ini kali pertama bergandingan dengan dia.

“Namun segalanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan. Babak saya dengan Lizzy juga tidak banyak.

“Jalan cerita untuk muzik video itu pun menarik jadi saya juga tak ada rasa takut nak bergandingan bersama dengan dia.

“Mula-mula saya ingatkan ada babak seperti bersanding kalau berkaitan dengan perkahwinan, rupa-rupanya tiada.

“Bekerjasama dengan Lizzy sangat menyenangkan, jalan cerita MV ini juga semuanya dari Lizzy sendiri dan saya ikut sahaja,” katanya kepada Gempak.


Untuk info, Hazama bersetuju berkolaborasi untuk projek duet berkenaan kerana meminati tona suara Lizzy yang unik selain genre berbeza berbanding lagu-lagunya sebelum ini.

Sehingga artikel ini ditulis, mv Beku telah menerima lebih 400,000 tontonan sejak dimuat naik di laman YouTube rasmi Warner Muzik Malaysia pada 5 Februari lalu.