Bintang Gegar Vaganza lapan (GV8) Datuk Fazley Yaakob tekad untuk menonjolkan keupayaan vokalnya yang sebenar untuk konsert minggu keempat berlangsung hari ini.

Menurut Fazley, dia akui bukanlah terbaik dalam kalangan mereka yang hebat dalam GV, namun dia sehabis daya untuk berlatih demi memberikan persembahan yang terbaik setiap minggu.

“Minggu ini lagu Mahligai Syahdu dari kekanda saya Datuk Hattan merupakan lagu yang saya sendiri tak sangka mempunyai maksud yang sangat mendalam buat Abang Hattan.

“Abang Hattan menyatakan bahawa ini adalah lagu yang paling jarang dinyanyi kerana dia sendiri dicengkam perasaan dan memori mengingatkan beliau kepada arwah Ayah beliau yang telah pergi.

“Rupa-rupanya lagu ini mengisahkan tentang Mahligai Syahdu yakni pusara ayah Abang Hattan yang tercinta. Saya rasa sangat terkesan bila mengetahui bahawa ini adalah lagu yang memberi maksud yang sebegitu rupa kepadanya.

“Terkesan kerana ayah saya juga telah pergi, saya juga sering ke pusara ayah saya untuk membaca Yasin walaupun sudah 5 tahun beliau pergi dan saya faham perasaan Abang Hattan yang baharu saja kehilangan ibu tercinta pula pada minggu ini,” katanya.

Jelasnya, dia bersyukur kerana ramai peminat memberikan kekuatan dan keyakinan sepanjang dia berada dalam GV.

“Jika ada yang bertanya adakah ada sesuatu yang istimewa yang saya bakal tampilkan minggu ini, sudah tentu ada gimik dan sedikit kelainan kerana saya percaya persembahan pentas juga penting disamping persembahan suara.

“Saya cuba yang terbaik sehabis daya mengikut kemampuan saya untuk Abang Hattan dan juga untuk semua yang menyokong saya minggu ini.

“Jika minggu pertama saya nervous, minggu kedua saya terkesan dan tersedu-sedan diatas pentas kerana ayah saya, minggu ketiga saya berdangdut untuk semua orang agar mereka happy dengan persembahan saya.

“Minggu ke-4 ini saya tumpukan semata-mata untuk menampilkan keupayaan vokal saya menyampaikan lagu yang memberikan maksud yang sangat mendalam kepada empunya lagu.

“Al-Fatihah buat ibu atau bapa kita yang telah pergi menghadap Illahi,” katanya.

A post shared by Dato' Fazley Yaakob (@fazleyyaakob)


Dihoskan oleh Jihan Muse dan Nabil Ahmad, GV8 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam.

GV8 turut menampilkan Datuk Ramli MS dan mengembalikan Hetty Koes Endang serta Datuk Syafinaz Selamat sebagai juri tetap dan akan dibantu juri jemputan setiap minggu.

Teruskan menonton GV8 yang dibawakan sekali lagi oleh Farm Fresh selaku Penaja Utama, disokong Adabi dan CUCKOO Healthy Home sebagai Penaja Bersama selain Digi selaku Telco Rasmi.

Rangkaian program GV8 akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) serta turut boleh diakses menerusi portal Gempak dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza’ yang akan disiarkan pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang bermula 15 November.

Bagi yang terlepas untuk menonton, program ‘Kompilasi Kapsul Gegar Vaganza S8’ akan disiarkan khas pada setiap hari Sabtu, jam 7.00 malam mulai 20 November 2021.

Untuk pengisian di platform digital, program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com/gegarvaganza ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV8’ bermula 21 November 2021.

Dalam pada itu, Program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) terbitan Astro Ria telah dinobatkan sebagai Program Muzik/Tarian Terbaik Asia di Asian Academy Creative Awards 2021 (AACA 2021) yang berlangsung di Singapura pada 3 Disember lalu.