"Minta Duit Kat Abah Lepastu Belikan Pen Sebagai Hadiah Hari Guru Dia" - Zulin Aziz Kena Tegur Tak Panggil Abahnya 'Cikgu' Dalam Kelas

ZULHILMI JALIL
Mei 16, 2020 08:12 MYT
Sempena sambutan Hari Guru, pelakon dan pengacara Zulin Aziz mengimbau kenangannya bersama arwah bapanya, Abd. Aziz Jaafar yang merupakan gurunya sendiri ketika di sekolah.
Menurut Zulin, dia diajar oleh bapanya sendiri ketika menuntut di Sekolah Kebangsaan Seri Murni, Selayang, Selangor.
"Arwah abah mengajar saya dari darjah 1 sampai darjah 4. Abah pernah mengajar beberapa subjek antaranya Bahasa Melayu dan muzik.
"Kalau waktu kelas dengan Abah sahaja, saya akan pergi duduk di depan meja cikgu. Saya tetap panggil ‘abah’ di sekolah walaupun ditegur suruh panggil ‘cikgu’," katanya ketika dihubungi Gempak.
Menurut Zulin lagi, arwah abahnya juga seorang guru yang disenangi murid-murid di sekolah.
"Kawan-kawan memang suka kalau kelas dengan abah saya. Diorang kata tak bosan, tak stres. Abah saya bukan jenis garang.
"Macam mana karakter saya ini, begitulah arwah abah. Bayangkan kalau kerja sekolah tu, kadang-kadang abah yang buatkan di rumah walaupun dia yang beri di sekolah," cerita Zulin.
Sementara itu, Zulin turut berkongsi sekeping foto arwah bapanya di Instagram sebagai dedikasi sempena hari guru yang diraikan setiap 16 Mei.
Cerita Zulin lagi, apa yang mencuit hati, dia pernah membelikan bapanya hadiah hari guru menggunakan duit daripadanya ayahnya sendiri.
"Saya pernah belikan arwah abah pen sempena sambutan hari guru. Lucunya, saya beli minta duit dia, lepas tu berikan kepadanya. Katanya, macam 'aku beli sendiri'," selorohnya.
Saksikan program yang menampilkan Zulin Aziz di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
#Zulin Aziz #Selamat Hari Guru #Abah