“Minta Jasa Baik…” - PU Riz Mohon Jangan Kongsi Foto Arwah Adibah Noor Tidak Tutup Aurat
Pendakwah bebas dan Pencetus Ummah (PU) Haris Ismail memohon netizen tidak berkongsi foto yang merakamkan arwah penyanyi Adibah Noor tidak menutup aurat.
PU Riz yang juga merupakan suami kepada pelakon Neelofa itu mengingatkan netizen menerusi coretan di ruangan Insta Story miliknya.
“Saya mohon kepada semua yang mengenali arwah, minta jasa baik agar tidak kongsikan gambar arwah yang tidak menutup aurat.
“Cukup sekadar sedekah Al-Fatihah. Jangan kita sebar perkara yang tidak perlu.
“Pesanan ini khas buat diri saya yang sering terlupa. Sekian. Salam,” coretnya.
Menerusi hantaran lain, Haris juga turut berkongsi sebuah dalil sebagai rujukan bersama.
“Ini antara dalil sebagai rujukan untuk kita tidak kongsi sesuatu yang bersifat mungkar,” tulisnya.
Terdahulu, industri seni dikejutkan dengan pemergian sebutir permata yang disayangi ramai, Allahyarhamah Adibah Noor.
Arwah sebelum ini pernah menyertai program realiti Gegar Vaganza (GV8).
Adibah atau nama sebenarnya Adibah Noor Mohamed Omar telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 6.00 petang Sabtu di Hospital Gleanegles.
Arwah juga tidak memaklumkan tentang keadaannya yang menderita kanser Ovari tahap empat kepada umum.
Jenazah arwah dimandi dan disembahyangkan di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, Kuala Lumpur, sekitar jam 9 pagi Ahad.
Lebih 100 orang termasuk rakan artis dan penggiat seni hiburan tanah air hadir memberi penghormatan terakhir.
Antaranya Datuk Afdlin Shauki, Datuk Hans Isaac, Nikki Palikat, Suki, Remy Ishak, Anuar Zain, Ziana Zain, Nadiya Nissa, Ruzana Ibrahim, Sharifah Amani, Saiful Apek, Linda Onn dan ramai lagi.