Seorang pemuda dikenali sebagai Muhamamd Rafiezulanwar Jaffri mengotakan janji menggunting rambut dan membotakkan bahagian tengah kepalanya.

Muhamamd Rafiezulanwar sebelum itu telah memuat naik posting di FB, akan menggunting rambut dengan gaya botak di tengah sekiranya menerima satu juta komen oleh warganet.

[[BACA: "Dapat 1 Juta Komen, Aku Potong Rambut Macam Ni" - Silap Langkah Cabar Netizen, Pemuda Ini Akhirnya Terpaksa... ]]

Tidak menghampakan warganet, Muhamamd Rafiezulanwar telah menggunting rambutnya secara langsung menerusi FB Live bermula pukul 10.30 malam tadi (Rabu).

Sebelum mula bergunting, pemuda warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura itu memohon maaf kerana mengambil masa agak lama untuk menunaikan janji.

“Saya minta maaf sebab lambat potong rambut walaupun komen dah cecah satu juta lebih awal. Saya kerja hari ni.

“Lepas habis kerja saya pergi pasar raya cari mesin gunting rambut. Sebab itulah lambat sikit,” katanya ‘gentleman’.

Apa yang menarik perhatian ialah, sepanjang live berlangsung Muhamamd Rafiezulanwar kelihatan sangat tenang.

Selepas satu jam, ‘rambut barunya’ berjaya disiapkan oleh dua orang ‘hairstylist’ dan semua yang menonton mengucapkan tahniah kerana tindakan berani Muhammad Rafiezulanwar.

Sebelum mengakhiri siaran langsungnya, Muhammad Rafiezulanwar sempat menjelaskan mengapa dia bertindak untuk melakukan cabaran tersebut.

“Masa update status tu, saya mula-mula tulis 500,000 komen kat ruangan kapsyen, tapi rasa macam tak best je…

“Lepas tu saya tukar dari 500,000 kepada satu juta komen sebab saya rasa tak mungkin posting saya mampu mencecah komen sebanyak tu.
“Ye la…tak mungkin orang nak nak buang masa untuk tulis komen sampai cecah satu juta. Macam mengarut kan?

“Tapi itulah…jangkaan saya meleset dan sekarang inilah hasilnya. Sekarang saya dah tahu netizen memang sangat bahaya,” katanya ketawa.

Dalam pada itu Muhammad Rafiezulanwar sempat memohon maaf kepada warganet jika perbuatannya menjengkelkan.

“Saya memohon maaf sekiranya buat anda semua terguris hati, rasa annoying atau jijik…Yang buruk datang dari saya, yang baik datang dari Allah,” katanya positif.

Setakat artikel ini ditulis, video berdurasi 1 jam 25 minit itu telah mendapat 160,000 tontotan, 50,000 komen, dan 9,000 perkongsian di laman sosial Facebook.